Perkenal lebih banyak laluan baharu

























SEPANG 9 Feb. - Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia merancang mahu memperkenalkan lebih banyak laluan baharu di peringkat domestik dan antarabangsa pada tahun ini dalam usaha mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju penerbangan tambang murah di rantau Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd., Aireen Omar (gambar) berkata, laluan tersebut bukan sahaja dari Kuala Lumpur tetapi juga hab-hab lain di Malaysia seperti Kuching, Kota Kinabalu, Johor dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, pertambahan laluan itu selaras dengan rancangan pembesaran operasi syarikat yang dijadual bakal menerima empat buah lagi pesawat baharu pada tahun ini.

Katanya, pesawat terbabit merupakan sebahagian daripada 475 buah pesawat yang ditempah oleh AirAsia bagi memenuhi pertumbuhan operasinya di peringkat global termasuk Thailand, Indonesia dan Filipina.

"Kita juga merancang untuk membuka lebih banyak hab (domestik dan antarabangsa) sekiranya ada permintaan.

"Bila kita nak (tambah) lagi laluan ini, kita akan tingkatkan hubungan ke Malaysia dan ini bermakna operasi di lapangan terbang dalam negara akan bertambah sibuk," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Aireen berkata, secara purata AirAsia mengendalikan lebih 30,000 penumpang dengan bilangan penerbangan sebanyak lebih 200 sehari di terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) di sini.
Malah, sebuah akhbar di Iran semalam melaporkan, AirAsia dijangka memulakan kembali penerbangan ke Iran pada pertengahan Mac ini, setelah memberhentikan operasi pada Oktober 2012. Syarikat itu bakal menyediakan penerbangan dua kali seminggu antara Kuala Lumpur dan Tehran.

Dalam pada itu, AirAsia tidak melihat kehadiran operator penerbangan tambang murah baharu dalam pasaran akan menjejaskan mereka, memandangkan syarikat itu telah mempunyai rangkaian kukuh meliputi beberapa buah negara di rantau ini.

Aireen berkata, keadaan itu membuatkan syarikat baharu sukar untuk menandingi mereka yang kini mempunyai hab di Indonesia, Thailand, Filipina dan seterusnya India.
Kata beliau, kesemua hab itu termasuk di Malaysia mengamalkan kerjasama dalam membentuk perhubungan destinasi yang sekali gus meningkatkan trafik AirAsia.

"Kesan kehadiran operator baharu kepada kami setakat ini adalah daripada segi kadar tambang. Bagaimanapun, berbanding apa yang telah kami bangunkan agak sukar kepada operator-operator baharu untuk bersaing," katanya.

AirAsia kini mempunyai unit di Thailand, Indonesia, Filipina dan juga India yang dijangka beroperasi sebelum hujung tahun ini.

Sebelum ini, penganalisis industri menganggap kehadiran beberapa operator penerbangan tambang murah asing dan tempatan seperti Malindo Air bakal menyaingi AirAsia di peringkat serantau.
Malah, syarikat antara usahasama Malaysia dan Indonesia itu begitu cepat mengorak langkah dengan menyediakan laluan ke beberapa negara termasuk India walaupun baru ditubuhkan pada hujung 2012, berbanding AirAsia pada 2001

Comments