77 maut nahas pesawat

Pasukan bomba dan persatuan bulan sabit merah membantu menyelamatkan mangsa nahas pesawat Boeing 727 yang terhempas di barat laut bandar Orumiyeh di barat wilayah Azerbaijan dekat Iran, kelmarin. - AFP

TEHERAN 10 Jan. - Sekurang-kurangnya 77 orang terbunuh dan 35 lagi cedera apabila pesawat Boeing 727 milik Iran terhempas dalam cuaca buruk di barat laut negara ini, lewat semalam.

Ketua Bulan Sabit Merah Iran, Mahmoud Mozafar berkata, kebanyakan mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

Katanya, seramai 106 orang iaitu 12 anak kapal dan 94 penumpang berada di dalam pesawat milik Iran Air itu ketika nahas berlaku.

Seorang lagi pegawai Bulan Sabit Merah, Heidar Heidari memberitahu agensi berita IRNA, angka kematian dijangka meningkat.

Ahli keluarga mangsa nahas berkumpul di lapangan terbang Mehrabad, Teheran untuk mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa.

Beberapa pegawai berkata, nahas berlaku sejurus sebelum pesawat itu mendarat di lapangan terbang di bandar Urumiyeh, yang terletak kira-kira 1,000 kilometer ke barat laut Teheran di kawasan pergunungan berhampiran sempadan Turki.

Seorang pegawai berkata, seramai 50 orang terselamat dan operasi menyelamat terhalang ekoran salji dan kabus tebal.

Menurut Mahmoud kepada televisyen kerajaan, pesawat itu berkecai kepada beberapa bahagian, tetapi tidak meletup.

Shahrokh Nioushabadi, jurucakap penerbangan kebangsaan Iran, Air Iran, memberitahu agensi berita separuh kerajaan, Mehr bahawa dua kanak-kanak adalah antara penumpang pesawat itu.

Menurut televisyen milik kerajaan, pesawat Iran Air itu dalam penerbangan dari Teheran ke Urumiye ketika nahas berlaku. - Reuters

Comments

Popular Posts