Letupan di Lapangan Terbang Domodedovo mengorbankan 31 orang

MOSCOW 24 Jan. - Satu letupan menggegarkan Lapangan Terbang Domodedovo yang sesak dengan penumpang hari ini dan mengorbankan 31 orang manakala 130 lagi cedera.

Presiden Dmitry Medvedev berkata, berdasarkan siasatan awal letupan di balai ketibaan lapangan terbang itu kira-kira pukul 1.32 petang dipercayai berpunca daripada serangan pengganas.

Polis mengambil langkah berhati-hati dan memperketatkan kawalan di sistem laluan bawah tanah yang merupakan sasaran pengganas sebelum ini.

Salah seorang penumpang British Airways, Mark Green berkata, dia yang baru tiba di lapangan terbang itu mendengar satu letupan kuat ketika sedang keluar dari bangunan itu.

"Kami mendengar loceng amaran selepas bunyi letupan itu dan orang ramai berlari keluar daripada lapangan terbang," ujarnya.

Tambahnya, beribu-ribu orang berada di dalam terminal tersebut ketika letupan itu berlaku.

Berikutan kejadian itu, prosedur kawalan keselamatan di lapangan terbang yang dikatakan paling canggih di sini dipersoalkan.

Pada 2004, dua pengebom berani mati berjaya menaiki kapal terbang dengan membeli tiket secara haram dan meletupkannya menyebabkan 90 orang terkorban.

Dibina pada 1964, Domodedovo terletak 42 kilometer arah tenggara bandar Moscow dan merupakan antara tiga lapangan terbang terbesar di sini. - AP

Comments

Popular Posts