Firefly perluas khidmat ke ASEAN tahun depan

KAUNTER jualan terbaharu Firefly di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mula beroperasi semalam.

SEPANG 4 Jan - Firefly, syarikat penerbangan komuniti pertama Malaysia, merancang meluaskan perkhidmatan ke negara anggota ASEAN pada suku ketiga tahun depan, kata Pengarah Urusannya Datuk Eddy Leong.

"Nyata, ASEAN akan menjadi tumpuan utama kami, dan kami akan mengkajinya secara berhati-hati.

"Kami kini melalui kelulusan slot," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan kaunter jualan terbaharunya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Turut hadir Datuk Azmi Murad, Pengurus Besar Kanan (perkhidmatan operasi) Malaysia Airports.

Leong berkata, beliau belum dapat mengumumkan nama bandar raya pilihan Firefly itu.

Beliau berkata, pertumbuhan penumpang di Terminal Skypark di Subang dijangka melepasi dua juta tahun ini.

Tahun lepas, pertumbuhannya sebanyak 1.5 juta.

"Tahun ini pasti menarik untuk kami. Kami dapat melihat tanda-tanda jelas mengenai pemulihan ekonomi dan permintaan yang kukuh," katanya.

Leong berkata, pembukaan kaunter tiket di KLIA merupakan perkembangan semula jadi keputusan untuk menempatkan operasi Boeing 737-800 baharunya di lapangan terbang yang pernah memenangi anugerah itu.

"Operasi Firefly di KLIA akan memberi tumpuan terhadap menawarkan nilai yang tiada saingannya pada tambang rendah.

"Kami akan mengatasi saingan kami menerusi tambang rendah," katanya.

Beliau berkata, Firefly akan memulakan operasi pada 15 Jan dari Bangunan Terminal Utama KLIA ke Kuching dan Kota Kinabalu dua kali sehari dan mulai 24 Jan, masing-masing empat kali sehari dan tiga kali sehari.

Kaunter tiket lapangan terbang Firefly yang baharu dibuka dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang dan menjual tiket untuk semua laluan Firefly, produk tambahan seperti makanan dalam penerbangan.

Leong berkata, waktu operasi akan bermula 5.30 pagi hingga 10 malam mulai 15 Jan.

Setakat ini, Firefly mempunyai 21 pejabat tiket lapangan terbang, katanya. -- BERNAMA

Comments

Popular Posts