Boeing 737 boleh mendarat

MELAKA 9 Jan. - Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam di sini mampu mengendalikan pendaratan pesawat jenis Boeing 737. Keupayaan pesawat Boeing 737-500 milik Riau Airlines yang membawa 124 penumpang membuat pendaratan sulung Jumaat lalu membuktikan kemampuan sebenar LTAM.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kemampuan mengendalikan pendaratan pesawat jenis Boeing 737 akan menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan dari luar untuk menggunakan LTAM.

''Ini satu lembaran baru buat LTAM apabila berjaya mengendalikan pendaratan pesawat jenis Boeing 737 dan secara tidak langsung akan membawa perubahan besar bagi mengendalikan penerbangan antarabangsa yang lain.

''Jika Malaysia Airlines (MAS), FireFly dan AirAsia masih enggan menggunakan LTAM, lebih baik kita memberi ruang pada mana-mana syarikat penerbangan lain untuk mendarat di LTAM," katanya di sini, semalam.

Jumaat lalu, pesawat jenis Boeing 737-500 membuat pendaratan sulung di LTAM yang sebelum ini hanya digunakan oleh pesawat jenis BAE 146-200 dan ATR500-72.

Sambutan meriah diberikan sebaik pesawat yang membawa seramai 124 penumpang termasuk anak kapal dari Pekan Baru diketuai oleh Gabenor Riau, Datuk H.M. Rusli Zainal dan pegawai tertinggi republik itu mendarat di LTAM.

Turut hadir, Konsul Malaysia di Pekan Baru, Zamani Ismail, Presiden Direktor Riau Air, Teguh T. Riyanto dan beberapa wartawan dari negara itu.

Mengulas lanjut, Mohd. Ali berkata, pendaratan itu akan mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Melaka-Pekan Baru selain merancakkan lagi hubungan ekonomi termasuk dalam sektor pelancongan.

Katanya, kerajaan negeri turut menggalakkan orang ramai menggunakan Riau Air untuk ke destinasi lain di Indonesia termasuk Jakarta.

''Riau Air akan dijadikan sebagai hab udara untuk ke destinasi lain di seluruh Indonesia dan ini akan merancakkan ekonomi kedua-dua negara," ujarnya.

Riau Air menggunakan LTAM (dulu dikenali Lapangan Terbang Batu Berendam) sejak 2006 dengan menggunakan pesawat Fokker 50 yang mampu membawa 50 penumpang.

Beliau berkata, Riau Air akan menggunakan pesawat Boeing 737-500 bermula esok bagi destinasi Melaka-Pekan Baru bagi menggantikan pesawat Fokker 50.

Comments

Popular Posts