AirAsia beri peluang sama rata


AIRASIA merupakan antara syarikat penerbangan terawal di Malaysia yang membuka peluang kepada kaum wanita untuk menjawat jawatan juruterbang pesawat komersial.

Pengambilan pertama dibuka pada tahun 2003 dengan hanya seorang juruterbang wanita berjaya memenuhi kriteria yang melayakkannya menjadi seorang juruterbang.

Menurut Pengarah Operasi Penerbangan AirAsia, Kapten Datuk Fareh Ishraf Mazputra Ahmad Fairuz, sejak tahun 2003 hingga hari ini, pihaknya mempunyai 23 orang juruterbang wanita di mana 15 berkhidmat dengan AirAsia manakala selebihnya dengan AirAsia X.

Tambah beliau, pihaknya tidak pernah memandang rendah akan kebolehan kaum Hawa dan disebabkan itulah peluang sama rata diberikan seperti mana kaum Adam peroleh.

"Kami di AirAsia cuba berlaku adil dengan tidak mengenepikan wanita malah mengiktiraf mereka sewajarnya dengan kebolehan serta kelayakan yang mereka ada.

"Disebabkan itu kami mula membuka peluang kepada mereka (wanita) untuk menyertai kami pada tahun 2003 dan asalnya hanya seorang yang terpilih.

"Hari ini setelah sembilan tahun, kami mempunyai 23 orang juruterbang wanita yang berkelayakan," ujarnya ketika ditemui di Akademi AirAsia, Sepang, baru-baru ini.

Katanya, mereka yang berminat untuk menjadi juruterbang boleh memohon sebaik sahaja tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan minimum umur sekurang-kurangnya 18 tahun.

Mengulas lanjut mengenai sesi pengambilan di bawah kadet AirAsia, pelatih akan menjalani latihan selama dua tahun sebelum layak mengendalikan kapal terbang.

Fareh turut memberi peringatan bahawa pemilihan juruterbang yang dilakukan pihaknya adalah ketat agar mereka yang terpilih betul-betul yang berkelayakan.

"Mungkin mereka di luar sana melihat kerjaya sebagai seorang juruterbang satu kerjaya yang menarik tetapi untuk bergelar juruterbang bukanlah satu perkara mudah.

"Selain terpaksa menduduki pelbagai ujian dan temuduga mereka juga perlu melalui pelbagai jenis pemilihan yang ketat.

"Ini adalah untuk menjamin mereka betul-betul layak mengendalikan kapal terbang kerana kerjaya ini secara tidak langsung berurusan dengan nyawa orang," ujarnya.

Untuk itu katanya, pemilihan yang dibuat tidaklah dilakukan berdasarkan satu kriteria sahaja seperti keupayaan, malah ia turut mengambil kira personaliti dan kesesuaian individu tersebut dengan organisasi.

Yang penting, individu tersebut sihat tubuh badan selain tidak mengalami masalah rabun warna dan juga pendengaran.

Bagi setiap sesi pengambilan, AirAsia hanya memperuntukkan 40 hingga 50 tempat kosong untuk diisi oleh semua pemohon yang layak.

Tetapi setiap kali pengambilan dibuka, mereka menerima lebih daripada 2,000 permohonan dari seluruh dunia dan tidak terhad kepada warga tempatan sahaja.

Bagaimanapun, kekosongan bergantung kepada pertambahan jumlah kapal terbang dari semasa ke semasa.

Ini jelas membuktikan kerjaya sebagai juruterbang adalah kerjaya yang diminati malah semakin mendapat perhatian daripada anak-anak muda hari ini.

Begitupun, menurut Fareh, pihaknya membahagikan kepada beberapa kategori untuk sesi pengambilan. Ia dibuka untuk kadet, graduan atau mereka yang sudah bekerja dengan mana-mana syarikat penerbangan sebelum ini.

Comments

Unknown said…
macam mane proses untuk jadi seorang juruterbang??

Popular Posts