MAS dan Qantas gagal dalam rundingan penerbangan baharu

MELBOURNE 9 Mac - Qantas gagal menjalin perjanjian dengan Malaysia Airlines (MAS) untuk menubuhkan syarikat penerbangan premium baharu pada Jumaat.

Qantas kini dijangka mengenal pasti hab Asia lain selepas memaklumkan ia gagal untuk mencapai kata sepakat membabitkan terma komersial secara usaha sama dengan MAS.

Ketua Eksekutif Qantas, Alan Joyce bagaimanapun berkata, Asia terus menjadi keutamaannya dan akan terus meneroka peluang di rantau ini.

"Transformasi perniagaan antarabangsa Qantas sangat penting, dengan pelan untuk menjadikan perniagaan antarabangsa kembali mencatat untung dalam tempoh jangka pendek kini dalam kedudukan yang baik,” katanya dalam satu kenyataan, "Dalam jangka sederhana, perniagaan Qantas, domestik dan antarabangsa akan melepasi kos modal pada asas berkekalan.

"Namun, modal minimum akan diperuntukkan untuk perniagaan itu memandangkan ketidaktentuan ekonomi dan tumpuan syarikat pada pengurusan kewangan berdisiplin,” katanya.

Bulan lepas, Joyce berkata, Qantas berbincang dengan rakan usaha sama sedia ada dan berpotensi untuk menubuhkan syarikat penerbangan premium baharu di Asia.

Tahun lepas, Qantas mengumumkan pelan lima tahun untuk memulihkan perniagaan antarabangsanya.

MAS minggu lepas melaporkan kerugian suku keempat berturut-turut.

Comments