Pesawat mendarat cemas gara-gara gelagat juruterbang

LAS VEGAS 28 Mac - Sebuah pesawat Amerika Syarikat (AS) melakukan pendaratan cemas di Texas, semalam selepas penumpang pesawat itu bertindak menahan kapten juruterbang yang menjerit mengenai al-Qaeda dan ancaman bom.

Akhbar Amarillo Globe-News melaporkan, penerbangan pesawat JetBlue dari New York ke Los Angeles itu dilencongkan ke Amarillo, Texas selepas insiden terbabit berlaku.

Syarikat penerbangan tersebut mendakwa, juruterbang itu dipercayai mempunyai masalah kesihatan menyebabkan dia berkelakuan sedemikian.

Katanya, kapten itu pergi ke tempat rehat yang terletak di luar kokpit sebelum dia mula menjerit 'Iraq, al-Qaeda, pengganas, kita semua akan terhempas!'.

Penumpang pesawat terbabit, Heidi Karg berkata, kejadian itu sangat menakutkan dan dia agak terkejut dengan apa yang berlaku.

"Apabila penumpang lain mengarahkannya supaya bertenang, mereka terpaksa menahannya dan beberapa penumpang lelaki membantu untuk mengawalnya," katanya.

Penumpang lain yang duduk di baris ketiga, Gabriel Schonzeit berkata, juruterbang tersebut turut menjerit mengenai kemungkinan terdapat bom dalam pesawat itu dan mereka semua akan terhempas.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata, pembantu juruterbang berkenaan berasa bimbang dengan kelakuan pelik kaptennya dan bertindak mengunci pintu kokpit selepas lelaki terbabit keluar.

"Selepas menyedari kekecohan yang berlaku antara kapten terbabit dengan penumpang, dia melakukan pendaratan cemas dengan selamat.

"Sebaik-baik mendarat, pihak berkuasa tempatan mengawal juruterbang itu dan membawanya ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan," katanya

Comments

Popular Posts