Firefly tiada hasrat henti operasi

PETALING JAYA 5 Mac - Syarikat penerbangan serantau, FlyFirefly Sdn. Bhd. (Firefly) tidak berhasrat menghentikan operasinya walaupun terdapat anggapan bahawa syarikat itu merupakan pesaing kepada AirAsia Bhd. (AirAsia).

Ketua Pegawai Operasi Firefly, Ignatius Ong berkata, syarikat terus kekal teguh dan berkembang mengikut perancangan yang telah disusun pada tahun ini dan seterusnya.

"Syarikat hanya akan mengurangkan kekerapan penerbangan ke destinasi yang kurang mendapat sambutan, sebaliknya meningkatkan kekerapan ke destinasi yang mempunyai permintaan yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar bagi menguar-uarkan penglibatan Firefly dalam Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia Kuala Lumpur 2012 (MATTA Kuala Lumpur 2012) di sini hari ini.

MATTA akan berlangsung dari 16 Mac hingga 18 Mac bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Isu pemberhentian operasi Firefly muncul selepas syarikat induknya, Malaysian Airline System Bhd. (MAS) dan AirAsia Bhd. (AirAsia) memeterai perjanjian kerjasama dengan pemegang kepentingan utama kedua-dua syarikat tersebut, Tune Air dan Khazanah Nasional melaksanakan pertukaran saham.

Kata Ong, penyertaan Firefly di dalam MATTA Kuala Lumpur 2012 juga mengambarkan kesungguhan syarikat itu untuk terus kekal menawarkan pakej penerbangannya kepada orang ramai.

"Kami bukan syarikat penerbangan tambang murah, sebaliknya Firefly menyasarkan pelanggan yang mahukan jadual penerbangan yang lebih fleksibel," katanya.

Tambahan Ong, syarikat juga berhasrat untuk memperkenalkan laluan ke destinasi baharu yang akan diumumkan dalam beberapa bulan akan datang.

Mengulas mengenai penyertaan di dalam MATTA Kuala Lumpur, beliau berkata, Firefly menyasarkan pertumbuhan jualan sebanyak 20 peratus daripada RM1 juta yang dicatatkan pada tahun lalu

Comments

Popular Posts