MAS perkenal rekaan terbaru pesawat Airbus A380-800
KUALA LUMPUR 8 Mac - Malaysia Airlines System Bhd., (MAS) hari ini memperkenalkan rekaan dan spesifikasi pesawat terbarunya, Airbus A380-800 yang akan berada dalam perkhidmatan mulai 1 Julai ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya berkata, rekaan luaran pesawat A380 mengekalkan identiti kebangsaan iaitu menggunakan lambang 'Wau' serta fon moden dan warna kontemporari.
"Kami adalah yang pertama memperkenalkan pesawat A380-800 dalam perkhidmatan dengan menggunakan rekaan unik serta baru dan bukannya identiti korporat yang kerap digunakan.
"Ia akan menjadi kemegahan kami dalam menyediakan tahap keselesaan, kemewahan dan kemudahan perjalanan bagi jarak jauh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, pesawat pertama A380-800 akan beroperasi tiga kali seminggu laluan Kuala Lumpur ke London mulai 1 Julai ini.
Pesawat kedua A380-800 juga juga bagi penerbangan dua kali sehari mengikut laluan yang sama mulai akhir Ogos ini dan pesawat ketiga untuk laluan Kuala Lumpur ke Sydney.
"MAS kerap membuat pembaharuan dan memperkenalkan perkhidmatan terbaru bagi keperluan pelanggan.
"Pelaburan ke atas pesawat ini termasuk teknologinya, gaya futuristik dan rekaan menarik adalah antara inisiatif untuk memastikan pelanggan terus menikmati tahap keselesaan, kemewahan dan kemudahan yang ditawarkan," ujarnya.
Pesawat itu menyediakan 494 tempat duduk iaitu lapan tempat duduk di kelas pertama dan kelas ekonomi di tingkat bawah (350), kelas perniagaan (66) dan kelas ekonomi di tingkat atas (70).
Comments