Tamatkan kerjasama MAS, AirAsia’

Bung Moktar Radin BN-Kinabatangan

KUALA LUMPUR 19 Mac - Seorang penyokong kerajaan mahu kerjasama antara Malaysian Airlines System (MAS) dengan AirAsia ditamatkan segera kerana ia hanya merugikan syarikat penerbangan nasional itu.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata, sehingga kini, kerjasama itu dilihat tidak memihak kepada MAS, sebaliknya ia memberi banyak kelebihan kepada AirAsia dalam konteks mencatatkan keuntungan.

Berdasarkan laporan, beliau berkata, MAS rugi sebanyak RM2 bilion manakala AirAsia pula mencatatkan keuntungan sebanyak RM500 juta.

‘‘Apa yang pasti kerjasama ini adalah hasil daripada cadangan serta tindakan daripada pihak Khazanah Nasional yang diterajui oleh Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar. Oleh itu saya minta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pihak Khazanah berhubung isu kerjasama MAS dengan AirAsia kerana kerjasama yang dibuat ini hanya merugikan MAS.

‘‘Saya juga ada senarai bagaimana jawatan-jawatan penting di dalam MAS kini dipegang oleh pegawai- pegawai kanan daripada AirAsia. Saya sangat konsisten dalam isu ini dan atas sebab itu kerjasama antara MAS dan AirAsia perlu ditamatkan serta-merta,” katanya ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Berhubung isu sama, Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) dalam sesi perbahasannya, merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengambil tindakan segera menghentikan cubaan mana- mana pihak yang mahu menghancurkan MAS.

Dalam nada sama, beliau juga mahu SPRM, Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat segera kerjasama yang berlaku antara MAS dan AirAsia itu terutamanya yang menyentuh mengenai penjualan aset serta pelaburan.

Selain itu katanya, ia bertujuan untuk memastikan berlakunya proses audit yang lebih telus.

‘‘Walau apa pun, saya tetap menghargai keputusan Perdana Menteri untuk mengkaji semula kedudukan kerjasama antara MAS dan AirAsia ini,” kata Choo Keong lagi.

Dalam pada itu, Bung Moktar dalam sesi perbahasannya turut mempersoalkan kontrak kutipan sampah yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang dikatakan mengutamakan syarikat kroni.

Malah akibat daripada ketidaktelusan pemberian kontrak itu katanya, ia telah menyebabkan timbul masalah sampah tidak dikutip sehingga mengakibatkan rakyat hidup dalam keadaan tidak selesa.

‘‘Sebanyak 50 kontrak memungut sampah telah dianugerahkan selepas kontrak syarikat Alam Flora Sdn. Bhd. ditamatkan. Ada syarikat isteri yang dapat, ada syarikat suami pun dapat, syarikat tak ada nama pun dapat, syarikat tiada kenderaan, syarikat tiada depoh juga dapat,” katanya lagi.

Sehingga kini jelas beliau, sebanyak 300 bantahan awam telah diterima berhubung isu tersebut.

Beliau berkata, masalah yang timbul tersebut membuktikan kelemahan pihak pembangkang.

‘‘Oleh itu dalam isu ini, saya juga meminta SPRM supaya segera menyiasat proses penyerahan kontrak berkenaan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan dalam usaha memastikan rakyat mendapat perkhidmatan bermutu,” katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang hadir pada sidang Dewan Rakyat itu bangun memaklumkan pihaknya akan menyiasat dakwaan Bung Moktar dan akan memantau serta memberi amaran kepada syarikat yang gagal memberi perkhidmatan bermutu.

Bagaimanapun kenyataan itu dibidas oleh Bung Moktar kerana katanya, sepatutnya langkah itu perlu dilakukan sejak dahulu lagi.


Comments