Isu MAS: MyCC tumpu dua aspek siasatan

KUALA LUMPUR 16 Mac - Siasatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) ke atas perjanjian pertukaran saham antara Malaysian Airline System Sdn. Bhd. dan AirAsia Bhd. (AirAsia) akan menjurus kepada sama ada ia melibatkan salah guna kuasa monopoli atau perlakuan kartel iaitu dua syarikat sepakat menentukan harga.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mengikut Akta Persaingan 2011, monopoli adalah dibenarkan, namun ia menjadi kesalahan apabila wujud salah guna kuasa monopoli.

"Kalau kita nak kata monopoli sepenuhnya mungkin tidak berlaku kerana tidak ada pencantuman syarikat menjadi satu, MAS masih terbang sebagai MAS dan AirAsia masih terbang sebagai AirAsia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun kesembilan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di sini, hari ini.

Katanya, perlakuan kartel mungkin timbul kerana kedua-dua syarikat penerbangan itu dilihat seolah-olah membahagikan laluan penerbangan antara mereka.

Ismail memberi contoh isu pemberhentian perkhidmatan Firefly ke Kota Kinabalu, Sabah yang berlaku selepas timbul isu kedua-dua syarikat itu bekerjasama.

Ismail turut memberi jaminan bahawa siasatan MyCC telus dan sebarang keputusan tidak akan dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk kerajaan kerana ia merupakan sebuah badan bebas.

Ditanya bila siasatan itu akan selesai beliau berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin kerana isu penggabungan itu mempunyai kepentingan kepada orang ramai.

"Saya nak lihat MyCC cepat sebab orang ramai pun tak sabar, dalam Parlimen pun soalan sama timbul. Ini menunjukkan kepentingan awam begitu tinggi.

"Bukan setakat itu sahaja malah pihak kesatuan mereka juga ingin tahu sebab banyak perkara yang berlaku hasil perbincangan daripada penyatuan (perjanjian pertukaran saham) ini," jelasnya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts