10,000 tempat duduk habis ditempah
KUALA LUMPUR 9 Jan. - Harga saham AirAsia Bhd. meningkat selepas kumpulan itu mengumumkan pengenalan kekerapan tambahan kepada enam destinasi domestik dan satu laluan antarabangsa.
Sehingga jam 11.19 pagi, harga saham syarikat penerbangan kos rendah itu menambah 2.0 sen kepada RM2.95 selepas turun naik antara RM2.93 dan RM2.98, dengan 3.33 juta saham diniagakan.
Kumpulan itu mengumumkan bahawa kekerapan tambahan itu ialah dari hab Kuala Lumpur ke Bangkok, Kota Kinabalu, Sibu, Kuching dan Johor Baharu, manakala hab Johor Baharu akan menyaksikan kekerapan tambahan ke Kuching, Sibu, Miri dan Pulau Pinang.
Kekerapan tambahan akan diadakan dari Pulau Pinang ke Kota Kinabalu dan Kuching serta dari Kota Kinabalu ke Kuching.
Di dalam nota penyelidikannya, Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata ia menjangka AirAsia akan kekal menaik melalui pelan pengembangannya, dengan tempahan tetap 100 pesawat A320 (dengan tambahan opsyen 50 pesawat A320 dan 50 pesawat A321).
Katanya Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes terus berkeyakinan mengenai pertumbuhan kukuh rantau Asia Pasifik apabila beliau terus meneroka peluang di negara lain di rantau itu.
"Kawalan kos unit merupakan faktor paling penting bagi terus hidup di dalam industri penerbangan dan kelebihan kos AirAsia, yang ditambah dengan jenama yang kukuh dan rangkaian yang besar, akan memastikan kejayaan berterusan," katanya.
Syarikat penerbangan kos rendah terbesar di Asia itu mengumumkan pada 13 Disember bahawa kumpulan itu telah membuat tempahan 100 lagi pesawat keluarga A320 dengan Airbus.
Bagaimana pun, HLIB Resa memotong pendapatan bagi tahun kewangan 2013-2014 sebanyak 8-12 peratus selepas mengambil kira pulangan yang rendah berikutan kemasukan Malindo Airways yang memberikan persaingan harga.
"Kami menjangka harga bahan api jet kekal tinggi, yang akan memberi kesan terhadap margin kumpulan AirAsia" katanya.
Ia turut mengekalkan saranan "pegang" saham AirAsia, dengan harga sasaran lebih tinggi RM3.20 berbanding RM3.14 sebelum ini.
Comments