mangga add

Saturday, January 5, 2013

AirAsia sedia ke klia2



Aireen Omar
KUALA LUMPUR 2 Jan. - AirAsia Bhd. sudah bersedia bagi perpindahannya tidak lama lagi ke lapangan terbang penerbangan tambang murah, klia2, kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Aireen Omar.
Beliau berkata, syarikat penerbangan tambang murah itu sudah bersedia dan sedang menunggu kelulusan daripada Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) untuk menghuni lapangan terbang baharu itu, yang dijadualkan mula beroperasi pada Mei.

Sejak bermulanya pembangunan prasarana lapangan terbang baharu itu, syarikat itu telah mula bersiap-sedia untuk berpindah semua bahagiannya termasuk operasi, logistik dan pengendalian darat.
Aireen berkata AirAsia, yang bakal menjadi penyewa terbesar di klia2, sedang memantau perkembangan di lapangan terbang itu.

"Kami ada pasukan operasi untuk memantau perkembangan. Saya juga dalam pasukan itu dan kami kerap bermesyuarat untuk membincangkan isu-isu berkaitan lapangan terbang baharu itu.
"Bagaimanapun, kami sentiasa memastikan bahawa setiap aspek di klia2 seperti landasan dan kemudahan lain sesuai bagi modul perniagaan kos rendah. Untuk itu, kami akan sentiasa berhubungan dengan pengendali lapangan terbang itu (MAHB)," kata Aireen kepada Bernama.

Beliau juga berkata, terminal penerbangan murah (LCCT) sekarang telah mencapai kapasiti maksimum 15 juta setahun.

"Malaysia AirAsia membawa 20 juta penumpang tahun ini. LCCT itu tidak akan menawarkan persekitaran yang sesuai bagi kami dan pelanggan pada masa akan datang," katanya.
Terminal klia2 berharga RM3.6 bilion dibina untuk menampung ledakan pertumbuhan perjalanan tambang murah itu terletak di kawasan seluas 257,000 meter persegi dan dijangka mengendalikan maksimum 45 juta penumpang setahun.
Lapangan terbang itu akan mempunyai 60 pintu, lapan tangga kawalan jauh, 80 aerobridge, serta sebuah ruang runcit seluas 32,000 meter persegi untuk menampung 225 cawangan perniagaan runcit.


No comments: