AirAsia X perkenal laluan KL-Jeddah
KUALA LUMPUR 17 Jan. - Syarikat penerbangan jarak jauh dengan tambang murah, AirAsia X,
memperkenalkan laluan baharu antara Kuala Lumpur dan Jeddah, Arab Saudi, mulai 16 Februari ini, setelah melihat potensi cerah hubungan logistik antara kedua-dua negara.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman Rani berkata, pengenalan laluan itu juga adalah bertepatan dengan musim mengerjakan umrah mulai pertengahan tahun ini yang dijangka menjadi faktor utama tempahan ke laluan itu.
Sejak tahun lalu jelas beliau, pihaknya telah mengkaji permintaan dan operasi ke Jeddah menggunakan kapal terbang yang disewa, bagi menilai peraturan yang diperlukan jika mahu memasuki Arab Saudi.
"Ia menunjukkan maklum balas yang positif sama ke Jeddah atau ke Kuala Lumpur. Kami turut menyasarkan pelancong daripada Asia Barat yang ingin mengunjungi Malaysia atau menjadikan negara ini sebagai tempat persinggahan," katanya ketika majlis memperkenalkan laluan itu di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz, dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun.
Laluan yang diperkenalkan itu menawarkan kekerapan tiga kali seminggu dan ditingkatkan kepada empat kali seminggu mulai 1 Mei 2013.
AirAsia X dijangka memperkenalkan tiga lagi destinasi baharu tahun ini.
Comments