Jepun guna jet usir pesawat China



TOKYO 5 Jan. - Jepun hari ini mengerahkan jet pejuangnya mengusir sebuah pesawat milik China yang terbang berhampiran kepulauan yang menjadi pertikaian antara kedua-dua buah negara.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Jepun berkata, jet itu diarahkan terbang selepas sebuah pesawat maritim China berlegar kira-kira 120 kilometer di utara kepulauan Senkaku yang turut dikenali sebagai Diaoyu di China, kira-kira pukul 12 tengah hari waktu tempatan.

Katanya, pesawat enjin berkembar Y-12 China itu kemudiannya meninggalkan zon pertikaian berkenaan tanpa memasuki ruang udara Jepun di kepulauan tersebut.

"Ini merupakan pertama kali buat tahun ini jet pejuang Jepun dikerahkan bagi mengusir pesawat milik China yang cuba menghampiri kawasan kepulauan itu ,'' katanya.
Kali terakhir Jepun mengerahkan jetnya ke kepulauan Senkaku ialah bulan lalu selepas sebuah pesawat China menceroboh ruang udara di situ.
Sementara itu, Jepun dikatakan akan meningkatkan bajet pertahanannya buat pertama kali dalam tempoh 11 tahun, lapor media Jepun.

Akhbar Mainichi tanpa memetik sebarang sumber melaporkan, kerajaan Jepun sedang mempertimbangkan untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanannya kira-kira dua peratus kepada 4.7 trilion yen (RM162.4 bilion) untuk tahun kewangannya yang bermula April ini.
Menurut akhbar Asahi yang turut melaporkan perkara sama, perbelanjaan tambahan itu akan digunakan bagi mengukuh dan menaik taraf kelengkapan pertahanan sama ada untuk di darat, laut mahupun udara.


Comments