3 maut pesawat ringan terhempas hempap rumah
FLORIDA 5 Jan. - Sekurang-kurangnya tiga orang maut apabila sebuah pesawat kecil terhempas di atas sebuah rumah ketika cuba mendarat di lapangan terbang di Florida, petang semalam.
Pegawai Peronda Lebuh Raya Florida, Leftenan Justin Asbury berkata, pesawat jenis Beechcraft H35 Bonanza tahun 1957 itu dalam perjalanan menuju ke Knoxville, Tennessee dari Fort Pierce ketika mula mengalami gangguan teknikal.
Laporan awal sebelum ini menyatakan, juruterbang pesawat malang itu membuat panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 2.10 petang waktu tempatan selepas mengalami masalah teknikal, lapor stesen NBC di Orlando, WESH.
Pengarah Lapangan Terbang Flagler County, Roy Sieger memberitahu Dayton Beach News-Journal, berdasarkan maklumat pusat menara kawalan, juruterbang pesawat itu melaporkan kokpit mereka berasap pada pukul 2.18 petang waktu tempatan dan terhempas seminit kemudian.
Pejabat Syerif Flagler County pula berkata, pesawat terbabit jatuh di atas sebuah rumah di bandar Palm Coast, tidak jauh dari Lapangan Terbang Flagler County.
Seorang penduduk yang tinggal berhampiran tempat kejadian berkata, dia terdengar bunyi pesawat terhempas dari kediamannya.
Dia dan seorang lagi jiran, Armando Gonzalez kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan melihat pemilik rumah, Susan Crockett telah pun berada di luar rumah sambil memekik pesawat terhempas di rumahnya.
"Rumah itu terbakar dan letupan turut berlaku dari dalam rumah tersebut," kata Gonzalez.
Menurut Asbury, Crockett dihantar ke hospital berhampiran sebagai langkah berjaga-jaga, tetapi berada dalam keadaan stabil.
Sementara itu, pihak berkuasa masih tidak mendedahkan identiti kesemua mangsa yang maut
Comments