Citilink tempah 25 unit Airbus A320neo
JAKARTA 15 Jan. - Industri penerbangan tambang murah Indonesia semakin rancak berkembang berikutan pengumuman terbaru Citilink, anak syarikat Garuda Indonesia yang sudah menempah 25 unit pesawat Airbus A320neo bernilai AS$2.4 bilion (RM7.2 bilion).
Tempahan jumlah pesawat berkenaan dilakukan Citilink sebagai memenuhi permintaan penerbangan yang semakin meluas di rantau Asia Tenggara.
Pengumuman berkenaan sekali gus bakal memberikan persaingan yang sengit kepada dua syarikat penerbangan murah yang sedia ada di Indonesia, AirAsia dan Lion Air.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Citilink, Arif Wibowo, tempahan A320 merupakan pilihan yang tepat untuk memenuhi permintaan bagi laluan penerbangan syarikat tersebut.
"Pesawat A320 telah memainkan peranan yang penting dalam kejayaan penerbangan Citilink sebelum ini," kata Arif yang dipetik dalam akhbar Jakarta Globe hari ini.
Pada masa sama, Arif turut memberitahu, pesawat A320neo juga sangat ideal kerana kos operasinya sangat rendah.
Harga sebuah pesawat Airbus A320neo bernilai AS$96.7 (RM290 juta) dan boleh menerbangkan seramai 180 penumpang.
Pesawat berkenaan juga menjimatkan penggunaan minyak sebanyak 15 peratus dan boleh terbang sejauh 950 kilometer lebih pantas berbanding pesawat lain.
Pada masa ini, Citilink beroperasi dengan 16 unit pesawat, yang mana 10 daripada pesawat berkenaan jenis Airbus A320s.
Syarikat itu mengendalikan 76 penerbangan di luar Jakarta dengan kota Surabaya sebagai hab utama.
Citilink juga menjangkakan sebanyak 200 penerbangan dapat dikendalikan menjelang hujung tahun ini.
Pada tahun lalu, seramai empat juta penumpang memilih untuk terbang bersama Citilink iaitu dua kali ganda jumlahnya berbanding tahun 2011 yang mencatat angka 1.3 juta orang.
Syarikat penerbangan itu juga menyasarkan 7.2 juta penumpang akan memilih Citilink pada tahun ini dan sekali gus mencapai perolehan sebanyak AS$374 (RM1.1 bilion) juta hasil daripada jualan tiket.
Dalam usaha meluaskan lagi pengaruhnya, Citilink juga berhasrat untuk memiliki 50 pesawat menjelang tahun 2015.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Indonesia, Herry S. Gumay berkata, jumlah penumpang pengangkutan udara pada tahun lalu dijangka mencapai angka 70 juta orang iaitu peningkatan 13 peratus berbanding angka 62 juta orang pada tahun 2011.
Jumlah sebenar penumpang pengangkutan udara untuk tahun lalu masih belum dilaporkan. -
Comments