AirAsia tumpu ke pasaran utama Asia



KUALA LUMPUR 25 Jan. - Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia, melihat tahun 2013 sebagai permulaan kepada syarikat tersebut untuk meluaskan dominasinya di seluruh pasaran utama rantau Asia, menerusi rancangan strategik lima tahun yang telah disusun syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes dalam satu kenyataan hari ini berkata, AirAsia mahu kekal fokus dan disiplinnya di dalam aspek pengurusan kos, kerana faktor itu merupakan kunci utama pertumbuhan syarikat penerbangan itu selama ini.

Tambahnya, syarikatnya berjaya mengekalkan kos yang rendah berbanding syarikat penerbangan yang lain, malah perkara itu dilihat sukar dipraktikkan oleh pesaing baharu.
"Pencapaian suku keempat tahun lalu sungguh memberangsangkan.
"Kami akan mengumumkan keputusan kewangan tahun 2012 pada Februari ini.
"Saya percaya AirAsia bakal mencatatkan faktor muatan serta hasil yang lebih baik bagi tahun 2013 berdasarkan skala sedia ada serta keupayaan kami berhadapan tekanan kenaikan kos.
"Saya juga teruja dengan perancangan yang telah disusun untuk lima tahun akan datang dan sedia mencatatkan sesuatu yang luar biasa setiap tahun," katanya dalam kenyataan itu.

Tony berkata, selepas Malaysia, syarikatnya melihat Indonesia dan Thailand sebagai pasaran yang mampu menjana pendapatan yang tinggi.
"Untuk memastikan perniagaan kami di sana berjalan dengan baik, kami bakal melakukan penyenaraian awam kedua-dua entiti AirAsia di Thailand dan Indonesia supaya mempunyai struktur kewangan tersendiri," katanya.

Selain itu katanya, fokus juga akan diberikan kepada perniagaan di Filipina dan Jepun yang mana kedua-dua pasaran itu masih baru bagi AirAsia.
"India juga merupakan pasaran yang unik terutama sekali selepas kerajaannya yang menggalakkan industri pengangkutan udara.
"Kami akan terus meninjau peluang di negara ini kerana ia menawarkan potensi pertumbuhan yang baik," kata Tony dalam kenyataan itu lagi.
Jelasnya, China dan India sahaja menawarkan kapasiti pasaran lapan kali lebih besar berbanding Eropah.
Dengan itu, penumpuan kepada dua negara itu amat penting khususnya melalui menyediakan bilangan pesawat yang mencukupi.
AirAsia telah menempah sehingga 475 buah pesawat baharu yang mana 114 buah daripadanya telah diserahkan kepada syarikat penerbangan itu.
Bilangan tersebut menjadikan AirAsia sebagai pemilik terbesar daripada segi bilangan pesawat di Asia.


Comments