Landasan ketiga akan dibina di klia2



LAKARAN artis reka bentuk terminal lapangan terbang baharu klia2 yang dijadualkan beroperasi Mei ini.


KOTA KINABALU 3 Jan. - Kerajaan memutuskan untuk membina satu lagi landasan, iaitu landasan ketiga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menampung keperluan pergerakan penumpang yang sangat pesat di kedua-dua KLIA dan klia2.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, berdasarkan trend sedia ada, pergerakan penumpang di KLIA dan klia2 diunjurkan mencapai kapasiti penuh menjelang 2020, berikutan peningkatan kekerapan pergerakan syarikat penerbangan di kedua-dua lapangan terbang itu.

Katanya, KLIA dan Terminal Syarikat Penerbangan Kos Rendah (LCCT), yang dibina bagi menampung 40 juta penumpang (iaitu KLIA 25 juta dan LCCT 15 juta), dijangka berhadapan suasana 'terlebih kapasiti' dan kesesakan ekoran kepesatan perkhidmatan penerbangan tambang murah di rantau ini.

Pada tahun lepas sahaja KLIA telah mengendalikan 38 juta penumpang, katanya selepas meninjau Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini hari ini.
"Peningkatan penggunaan pesawat jenis berbadan sempit yang digunakan oleh syarikat penerbangan tambang murah, khususnya oleh AirAsia dan Malindo Airways serta syarikat penerbangan serantau seperti Tiger Airways Singapura dam Lion Air Indonesia meningkatkan kekerapan penggunaan landasan terbang," katanya.
Oleh itu, katanya kerajaan telah melaksanakan pembinaan klia2 dengan kapasiti 45 juta penumpang bagi meningkatkan jumlah kapasiti keseluruhan kepada 60 juta penumpang.

Beliau juga memuji Malaysia Airports Holdings Bhd (MAB) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) kerana menguruskan lapangan terbang antarabangsa negara dengan cemerlang.
"Apabila KLIA dibina dan dibuka pada 1997 semasa kemuncak krisis kewangan Asia, ramai yang mengkritik kerajaan kononnya melakukan pembaziran wang dan tidak mengukur baju di badan sendiri.

"Mereka juga meramal infrastruktur penerbangan ini akan gagal dan tidak yakin terhadap keupayaan negara, khususnya kerana pembinaan KLIA pada ketika itu hanya diurus dan dikawal selia rakyat tempatan.
"Namun, setelah hampir satu dekad setengah, terbukti KLIA maju ke hadapan dengan pesat," katanya. - BERNAMA

Comments