Lagi Human Error!!!

Juruterbang didakwa tidak patuhi arahan

ANGGOTA bomba Lebanon mengangkut cebisan pesawat Boeing 737 Ethiopian Airlines yang terdampar ke pantai Ramlet al-Baida di Beirut selepas terhempas di laut, semalam. - AP

BEIRUT 26 Jan. - Juruterbang sebuah pesawat penumpang Habsyah yang terhempas di Laut Mediterranean di Lebanon semalam, didakwa gagal mematuhi arahan dari menara kawalan penerbangan atas sebab yang belum diketahui.

Penerbangan 409 Ethiopian Airlines terputus hubungan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri di sini sejurus selepas berlepas pada 2.37 pagi semalam (8.37 pagi waktu Malaysia) dan terhempas dalam cuaca ribut di perairan Laut Mediterranean 2.5 batu nautika dari kampung Naameh.

"Rakaman menara kawalan menunjukkan pengawal lalu lintas udara mengarahkan juruterbang membelok untuk mengelakkan ribut tetapi pesawat itu terus terbang tanpa mengubah haluan.

"Kami tidak mengetahui apa yang berlaku atau sama ada perkara itu di luar kawalan juruterbang," kata Menteri Pertahanan Lebanon, Elias Murr.

Sehingga kini pasukan penyelamat belum menemui mangsa yang terselamat dari kalangan 90 orang yang menaiki jet Boeing itu.

Murr berkata, angka kematian rasmi adalah berdasarkan pengiraan mayat yang dihantar ke hospital kerajaan di Beirut.

Sukarelawan Palang Merah semalam mengangkut 14 mayat dan beberapa cebisan mayat ke hospital kerajaan Rafik Hariri.

Murr membuat kenyataan itu selepas Perdana Menteri, Saad Hariri mempengerusikan mesyuarat tergempar dengan beberapa anggota Kabinet dan ketua pasukan keselamatan termasuk Murr, Menteri Kesihatan, Mohammed Jawad Khalifeh, komander tentera Jean Kahwaji dan ketua polis, Ashraf Rifi.

Tentera darat dan laut Lebanon, Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa di Lebanon (UNIFIL) dan pesawat dari Perancis, Britain, Cyprus dan Amerika Syarikat (AS) membantu operasi mencari dan menyelamat.

Pegawai bagaimanapun berkata, harapan untuk menemui mangsa yang terselamat semakin tipis.

Penumpang seramai 83 orang terdiri daripada 54 warga Lebanon, 23 rakyat Habsyah dan selainnya dari Perancis, Britain, Iraq, Syria, Turki dan sebuah negara lain yang belum dipastikan.

Turut terbunuh ialah Marla Sanchez Pietton, isteri kepada Duta Perancis ke Lebanon, Denis Pietton. - AFP

Comments

Popular Posts