Persediaan kendali pesawat terbesar dunia
BUKAN mudah untuk menjadi seorang juruterbang, apatah lagi apabila terpilih untuk memandu pesawat komersial paling canggih, terhebat dan terbesar di dunia, Airbus A380 (A380).
Mereka yang terpilih untuk mengendalikan pesawat istimewa itu juga tentunya perlu memiliki bakat luar biasa di samping terpaksa mengikuti latihan dan persediaan rapi.
Tetapi bagaimana mahu menjalani latihan mengendalikan pesawat yang ketika itu masih belum berada dalam perkhidmatan? Jika pesawat-pesawat komersial lain tentu agak mudah.
Caranya hanya satu, iaitu melalui simulator A380.
Bagai para juruterbang Malaysian Airline System Bhd. (MAS) yang terpilih untuk mengendalikan pesawat canggih itu, mereka menjalani latihan penerbangan pesawat menggunakan simulator yang terletak di Kompleks A, Bangunan Simulator Lapangan Terbang Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor.
MAS merupakan antara syarikat penerbangan yang menempah pesawat penumpang terbesar itu dan pada 22 November 2009, Penerbangan Malaysia Bhd. (PMB), (MAS) dan Airbus telah menandatangani perjanjian pembelian enam buah pesawat A380-800.
Jika segalanya berjalan lancar, ketibaan pesawat pertama adalah dijangka pada suku kedua tahun 2012.
Untuk itu, MAS juga telah membawa masuk dua jurulatih penerbangan dari Toulouse, Perancis, bagi melatih juruterbang-juruterbang tempatan.
"Pesawat ini adalah sebuah pesawat berteknologi tinggi. Kami akan pastikan para juruterbang kami benar-benar bersedia sebelum mengendalikan pesawat sebenar tahun depan,"kata Kapten Norshid Ali, yang mengetuai projek latihan simulator A380.
Beliau yang ditemui di Kompleks A, Bangunan Simulator, Subang, baru-baru ini, memberitahu projek latihan itu telah bermula sejak dua bulan yang lalu.
Katanya, bagi tujuan latihan, MAS juga telah menghantar lapan juruterbang berpengalaman ke Toulouse untuk dilatih menjadi kapten menggunakan simulator tersebut.
Sepuluh lagi kapten kini sedang mengikuti kursus dan seterusnya mereka akan melatih 100 lagi juruterbang yang bakal memandu enam buah pesawat A380 milik MAS tersebut.
"Latihan untuk bakal juruterbang Airbus ini mengambil masa selama tujuh minggu sebelum mereka dikira mahir.
"Kriteria lain ialah seorang kapten itu mestilah pernah bertugas sebagai komander pesawat 747 selama dua tahun dan untuk pembantu juruterbang (co-pilot) pula mesti mempunyai rekod penerbangan 2,000 jam.
"Sudah tentu senarai pemilihan juruterbang ini diambil dari kalangan senior. Bila pesawat sebenar tiba, mereka perlu menjalani latihan penerbangan sebenar dalam masa tiga hari.
"Penerbangan percubaan itu adalah dari Kuala Lumpur ke Singapura atau ruang udara Kuala Lumpur sahaja. Apabila mereka sudah mempunyai keyakinan baru boleh bawa penerbangan komersial," katanya.
Norshid menambah, simulator A380 yang terdapat di kompleks itu beroperasi 24 jam.
Tambahnya, seorang juruterbang wajib melalui 24 sesi sesi di simulator dan mereka akan dipantau oleh seorang pegawai pemeriksa.
"Ini adalah pesawat baru yang tercanggih jadi kita perlu persediaan rapi. Memang latihan yang banyak amat penting dan aspek pendaratan untuk Airbus. Ini satu perkara yang perlu diambil kira," ujarnya.
Ketika ditanya perbezaan suasana pemanduan pesawat itu, Norshid berkata, kokpit A380 sebenarnya lebih kecil dari pesawat 747.
Pesawat itu juga sangat kurang menggunakan buku panduan.
"Semuanya elektronik dan tanpa wayar. Jadi semua pesanan dan mesej dihantar secara wireless sahaja. Di hadapan juruterbang terdapat sebuah notebook untuk digunakan. Suasana macam di pejabat pun ada," ujarnya sambil berseloroh.
Istimewanya simulator yang berharga AS$17juta (RM53.3 juta) itu ialah ia memberikan situasi yang sama dengan dengan pesawat sebenar.
"Selain itu simulator ini juga menyediakan pelbagai jenis situasi kecemasan semata-mata untuk memastikan juruterbang bersedia sekiranya berhadapan dengan keadaan sebenar," jelasnya.
Boleh dikatakan simulator A380 adalah yang terhebat dan paling canggih dari sudut teknologi.
Menggunakan sepenuhnya sistem rangkaian penyedia penuh dan sistem informasi on-board di dalam simulator tersebut.
Sistem visualnya juga menggunakan imej satelit sebenar dari pangkalan data.
"Sebagai contoh, kalau mendarat di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) suasana sebenar memang sama macam di Sepang sana. Simulator ini juga menggunakan sistem hybrid bukan lagi hydraulic seperti dulu," jelasnya.
Pesawat A380 akan memulakan penerbangan pertama pada suku ketiga tahun antara London-Kuala Lumpur iaitu penerbangan malam.
Menurut Norshid, mereka di MAS sangat optimis bahawa dengan kemasukan pesawat ini akan memberi manfaat yang tinggi untuk negara ini.
Selain London, A380 ini juga akan memulakan penerbangan ke Amsterdam.
"Airbus ini tidak boleh parking biasa, perlu parking khas dan KLIA sudah menyediakan tiga ruang khas di penjuru khusus untuk A380.
"Di Malaysia, hanya KLIA sahaja yang menyediakan tempat parking untuk Airbus ini dan Singapura juga. Jadi inilah masanya untuk kita membuktikan bahawa Malaysia memang bersedia untuk pesawat hebat ini," jelasnya.
Comments