Waktu pergi, balik suasana berbeza
BUKAN hanya jemaah haji yang teruja dan berdebar-debar mahu menjadi tetamu Allah tetapi petugas haji terutama anak-anak kapal Penerba�ngan Malaysia (MAS) yang mengiringi jemaah pergi dan balik di atas udara juga ada keterujaan tersendiri.
Tunku Shaniza Tunku Aziz Bendahara, 40, sudah sembilan kali menjadi petugas haji bersama MAS. Ibu dua anak berasal dari Kedah ini teruja dengan pengalaman yang dikecapinya setiap tahun.
“Setiap tahun pembawaan jemaah sentiasa berubah dan sepanjang sembilan tahun ini saya dapat me�nyaksikannya. Mereka semakin bijak dan berani sejajar dengan kemodenan dunia.
“Walaupun majoriti jemaah adalah orang tua, ia tidak menjadi masalah kerana saya melayan mereka seperti ibu bapa sendiri. Begitulah yang sepatutnya sebagai saudara sesama Islam. Saya melaksanakan tugas dengan ikhlas dan memberi yang terbaik,” katanya.
Shaniza yang juga penyelia penerbangan tidak menafikan, melakukan tugasan istimewa ini sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada dirinya. “Saya perlu melatih diri mengenai kesabaran lebih daripada biasa dan keinginan untuk menunaikan haji juga semakin mendalam,” ujarnya ceria. Penerbangan pertama Shaniza pada 29 September, jam 11.25 pagi bersama MH8000 ke Madinah. Yanti Irwani, 33, berasal dari Ipoh turut gembira tugasannya kali kedua sebagai petugas haji tahun ini. “Tahun sudah, sebab baru pertama kali memang hati agak risau tetapi tahun ini debarannya semakin berkurangan,” katanya. Bagi Yanti, pada pemerhatiannya sikap jemaah pergi dan balik juga berbeza. “Waktu pergi mereka lebih banyak berdiam, tak banyak cakap dan lebih menurut. Keadaan ini berbeza sebaik pulang. Mereka mula riuh, mahu tukar tempat duduk dan perangai pun berubah. Ramai juga yang sakit dalam perjalanan balik,” cerita Yanti sambil menambah, begitu juga keadaan beg jemaah yang semakin berat. Tidak menafikan menjadi petugas haji ada tekanan tersendiri tetapi Yanti tetap seronok dapat berkhidmat dengan tetamu Allah. “Melayan orang tua memberi kita keinsafan dan menguji kesabaran. Bila sudah bertugas, makin teringin hendak mengerjakan haji bersama suami saya kelak,” akuinya. Penerbangan pertama Yanti ialah pada 30 Septem�ber dari Terengganu ke Madinah jam 11.35 pagi bersama MH8002. GK Arlene Vanessa, 41, mula menjadi petugas haji pada 2003 dan sehingga kini dia sudah menganggapnya rutin yang biasa setiap tahun. “Ada jemaah yang tanya mengenai cara solat kepada saya, jadi saya beritahu mereka saya bukan Muslim dan merujuk mereka kepada petugas Islam. “Pengalaman menjadi petugas haji memang manis berbanding hari biasa, selalu terjadi jemaah wanita memeluk saya sebaik mendarat sebagai tanda terima kasih dan kesyukuran setelah selamat sampai,” cerita Arlene yang tidak kisah kena bertudung kerana itu sebahagian daripada tugasnya. Ibu dua anak ini juga merasakan memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah yang berumur tiada masalah baginya kerana setiap kali tugasan, dia menganggap umpama melayan ibu bapanya sendiri. Karen Lee, 38, anak kelahiran Pulau Pinang sudah kali keempat menyertai kumpulan petugas haji MAS. Perkhidmatan terbaik adalah agenda utamanya. “Saya seronok dengan tugas ini kerana menghantar orang membuat perkara yang baik sesuatu yang bermakna pada diri saya,” katanya. Ceritanya, dia pernah disuruh seorang jemaah agar berkahwin dengan anak lelakinya. “Mungkin kerana dia berpuas hati dengan perkhidmatan kami walaupun tahu saya bukan Muslim,” ketawa Karen mengingati kenangan manis itu. Setelah bertudung memang Karen tampil lebih ayu dan tidak hairan ada yang mahu menjadikannya menantu. Penerbangan pertama Karen ialah pada 9 Oktober dari Johor Bahru ke Jeddah jam 12.30 pagi bersama MH8030.
Comments