Cepatkan bina lapangan terbang antarabangsa

KOTA BHARU 25 Sept. - Kerajaan Pas Kelantan memohon Kerajaan Persekutuan mempercepatkan projek pembinaan lapangan terbang antarabangsa di sini bagi merancakkan lagi perkembangan sektor pelancongan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fatah Mahmood berkata, kerajaan negeri sangat-sangat mengalu-alukan pembinaan lapangan terbang tersebut yang boleh membantu kemasukan terus pelabur asing ke negeri ini tanpa perlu melalui Kuala Lumpur.

''Permohonan supaya pembinaan lapangan terbang antarabangsa itu dipercepatkan hampir setiap tahun dibangkitkan termasuk oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sendiri dalam titah ucapan baginda semasa merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pembentangan bajet,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merasmikan pejabat Pusat Perkhidmatan Pelancongan Air Asia dimiliki oleh syarikat al-Quds Travel Sdn. Bhd. di Jalan Sultan Ibrahim di sini.

Turut hadir, Pengarah Urusan al-Quds Travel, Wan Mohd. Zamri Wan Salleh dan Ketua Wilayah Jualan dan Pengedaran Air Asia, William Lim.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, ketika ini kerajaan negeri masih menunggu pengesahan daripada Kementerian Pelancongan mengenai status Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa yang telah dinaik taraf baru-baru ini, untuk dijadikan lapangan terbang antarabangsa.

"Bagi pihak kerajaan negeri, kita memberi sokongan sepenuhnya kerana kita yakin dengan lapangan terbang yang dinaik taraf, ia akan membantu membangunkan negeri dengan lebih cepat," katanya.

Pada 19 Ogos lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, LTSIP boleh mengendalikan perkhidmatan penerbangan antarabangsa setelah projek menaik taraf bernilai RM45.5 juta yang bermula Jun tahun lalu siap sepenuhnya.

Beliau berkata, dengan pemanjangan landasan dari 1,980 meter kepada 2,400 meter itu, ia membolehkan pendaratan pesawat lebih besar termasuk Airbus A330 dan Boeing 737-800.

Comments

Popular Posts