7 penerbangan haji dari Terengganu

KUALA TERENGGANU 28 Sept. - Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) negeri Terengganu akan mengendalikan tujuh penerbangan haji terus ke Tanah Suci melalui Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini, bermula Jumaat ini.

Pengarah Tabung Haji negeri, Mohammad Mokhzani Mukhtar berkata, kira-kira 3,100 jemaah terutama dari Terengganu, Kelantan dan Pahang akan berlepas melalui lapangan terbang di negeri ini.

Katanya, setiap penerbangan dijangka akan membawa seramai 447 jemaah menggunakan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dengan penerbangan terus ke Madinah dan Jeddah.

''Penerbangan pertama KT4 dijangka berlepas kira-kira pukul 11.35 pagi terus ke Madinah,'' katanya selepas mengadakan taklimat dan meninjau mengenai persiapan operasi penerbangan haji kepada petugas di LTSM di sini, pagi ini.

Hadir sama Pengurus Malaysia Airport Berhad (MAB) Ahmad Ramli Mahmood.

Kira-kira 300 kakitangan dari 18 agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertahanan Awam, MAB, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, MAS dan Jabatan Kastam dan Imigresen membantu operasi penerbangan haji di LTSM.

Beliau berkata, penerbangan kedua dari LTSM ialah pada 1 Oktober dan diikuti pada 5 dan 6 Oktober serta 16, 17 dan 18 Oktober.

Sementara itu, kira-kira 1,800 jemaah dari negeri ini berpeluang menunaikan fardu haji pada tahun ini.

Comments

Popular Posts