Dagangan MasKargo naik 25 %

PULAU PINANG 29 Sept. - MasKargo Sdn. Bhd. menjangkakan peningkatan pertumbuhan dagangan sebanyak 25 peratus menerusi penerbangan di rantau Asia pada 2012.

Naib Presiden Kanan Pengurusannya, Jamaludin Ismail berkata, tumpuan kini diberikan kepada negara-negara Asia seperti Jepun, China, Taiwan, India dan Russia berikutan penurunan kapasiti penerbangan di Eropah sebanyak 20 peratus pada enam bulan pertama tahun ini disebabkan kemelesetan ekonomi.

Beliau berkata, dengan pembelian empat pesawat baru jenis Airbus A330-200F, ia mampu membawa kepada perubahan positif dalam modul perniagaan serta operasi MasKargo.

"Kami telah pun menerima pesawat pertama untuk kategori saiz sederhana ke negara ini manakala selebihnya akan diterima pada November ini, Januari dan April tahun depan.

"Dengan adanya pesawat ini, dijangka kapasiti penerbangan akan meningkat sebanyak 25 peratus pada tahun depan melalui penerbangan ke Jakarta, Indonesia; Narita, Jepun, Hong Kong dan Shanghai di China; Amsterdam, Belanda; Sharjah, Oman serta Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyambut ketibaan pesawat A330-200F pertama dari Narita di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas, di sini malam tadi.

Sementara itu, Jamaludin berkata, penerbangan pesawat tersebut dari Narita ke Pulau Pinang dan Pulau Pinang ke Kuala Lumpur sebanyak tiga kali seminggu merupakan langkah bagi memperkukuhkan dunia dagangan dengan negara terbabit sekali gus membuka pasaran Jepun Ke Malaysia.

"Selain itu, ia dapat mengurangkan 'lead-time' di antara Jepun dan Malaysia dan secara tidak langsung akan meningkatkan prestasi bertepatan masa.

"Justeru, kita harapkan penerbangan ini memberi laluan serta mempertingkatkan dagangan di rantau Asia, Rusia dan Australia berikutan penggunaan pesawat Boeing 747-400F di laluan ini adalah tidak sesuai kerana penggunaan kos bahan api yang tinggi," jelasnya.

Sementara itu, Jamaludin juga berkata, MasKargo bakal memiliki enam pesawat iaitu dua pesawat Boeing 747-400F dan empat pesawat A330-200F pada tahun depan.

Manakala pesawat Boeing 747-200F pula akan dihentikan pada penghujung tahun ini.

Pesawat A300 menggunakan enjin yang dipertingkatkan kepada Pratt & Whitney dan mampu mengangkat 69 tan kargo dengan jarak 4,000 Newton meter (Nm).

Penerbangan pertamanya telah berlepas dari Toulouse, Perancis pada 15 September lalu, membawa 57 tan kargo dari Amsterdam ke Kuala Lumpur manakala jadual terbaru akan berlepas ke Osaka di Jepun, Taipei di Taiwan dan Karagandy di Kazakhstan pada 29 Oktober

Comments

Popular Posts