Pesawat MiG-29 tidak ditukar

DR. AHMAD Zahid Hamidi menandatangani plak sempena perasmian Kompleks Mutiara Pernama di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan, semalam. Turut hadir, Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin (kiri), Pengerusi Pernama, Jeneral (B) Tan Sri Mohamed Hashim Ali serta Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin (empat, kanan).

TAMPIN 26 Sept. - Rancangan pembelian aset baru bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk menggantikan pesawat pejuang MiG-29 belum dapat diputuskan dalam tempoh terdekat ekoran masalah kekangan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan untuk menukar pesawat ketenteraan itu dan juga aset pertahanan lain hanya akan dapat dilakukan apabila keadaan ekonomi mengizinkan.

"Kita menyedari tempoh perkhidmatan 10 pesawat MiG-29 buatan Rusia yang diguna oleh TUDM sudah tamat tempohnya, namun tiada cadangan bagi menukarnya dalam masa terdekat.

"Bagi pihak kementerian, kita memahami kerajaan perlu mengutamakan perkara lain. Namun buat masa ini kita melihat ada keperluan lain dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) berbanding isu penambahan aset," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Mutiara Pernama di Kem Syed Sirajuddin di sini hari ini.

Bagi mengatasi perkara itu, beliau menjelaskan, TUDM dan kementerian sedang menjalankan kajian terperinci mengenai pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) yang sesuai untuk menukar MiG-29.

Namun katanya, kementerian tidak meletakkan sasaran tempoh masa terhadap proses penukaran aset pertahanan berkenaan.

Mengenai Kompleks Pernama, Ahmad Zahid memberitahu, pembukaan kompleks berharga RM10 juta yang dibina di atas tapak seluas 0.65 hektar di kem tersebut bakal memberi keselesaan kepada warga kem mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah.

Kompleks itu menyediakan 22 ruang meliputi tapak perniagaan termasuk pasar raya Pernama, kedai gunting rambut, kedai jahit serta kedai basikal.

Kata Ahmad Zahid, rangkaian kedai Pernama menjual 370 barangan pada harga lebih murah berbanding harga pasaran ekoran subsidi RM5 juta yang diperuntukkan kerajaan setiap tahun.

Comments

Popular Posts