Dua Boeing 747-400 untuk bawa jemaah haji - MAS
PETALING JAYA 21 Sept. — Malaysia Airlines (MAS) akan menggunakan dua pesawat Boeing 747-400 dengan kapasiti 447 penumpang untuk menerbangkan 14,000 bakal jemaah haji Malaysia musim ini.
Pengurus Kanan Jabatan Haji dan Penerbangan Sewa Khas MAS, Hisham Haron berkata, baki 14,000 lagi bakal jemaah akan diterbangkan dengan pesawat Saudi Airlines.
"Penerbangan dari Malaysia ke Mekah iaitu fasa pertama akan bermula dari 29 Sept. hingga 30 Okt. manakala penerbangan balik ke Malaysia iaitu fasa kedua akan bermula dari 12 Nov. hingga 10 Dis.,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Hisham berkata, MAS akan melakukan 11 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), lapan dari Pulau Pinang, tujuh dari Kuala Terengganu, enam dari Johor Baharu dan tiga masing-masing dari Kota Kinabalu dan Kuching.
Semua penerbangan dari KLIA akan bermula dari Kompleks Jemaah Haji di Kelana Jaya yang diurus oleh Lembaga Tabung Haji. — Bernama
Comments