13 maut pesawat terhempas di Manila

Anggota bomba mengalihkan sekeping zink yang menghempap mayat-mayat selepas sebuah pesawat ringan yang terhempas menyebabkan kebakaran di kawasan penempatan di daerah Paranaque, Manila, semalam. - AFP

MANILA 10 Dis. - Sebuah pesawat ringan empat tempat duduk terhempas di sebuah kawasan penempatan di Filipina hari ini, mencetuskan kebakaran yang membunuh 13 orang termasuk dua kanak-kanak, sementara sekurang-kurangnya 20 yang lain cedera.

Setiausaha Agung Palang Merah Kebangsaan, Gwendolyn Pang berkata, pasukan penyelamat menemui mayat-mayat yang rentung di lokasi kejadian di daerah Paranaque, berhampiran dengan lapangan terbang Manila.

"Sekurang-kurangnya 50 buah rumah turut terbakar akibat nahas itu. Ia adalah pondok-pondok yang diperbuat daripada bahan mudah terbakar," katanya.

Menurutnya lagi, mereka yang disahkan terbunuh termasuk juruterbang, pembantu juruterbang dan penghuni rumah.

Pesawat jenis Beechcraft itu dilapor berlepas dari lapangan terbang Manila beberapa minit sebelum terhempas.

Pang berkata, api terus merebak ke sebuah sekolah rendah berdekatan, tetapi keadaan agak terkawal memandangkan sekolah tersebut kosong kerana cuti hujung minggu.

Datuk Bandar Paranaque, Florencio Bernabe berkata, sekurang-kurangnya 20 orang orang yang cedera telah dibawa ke hospital.

Ketua Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina, Ramon Gutierrez pula berkata, juruterbang itu ada meminta kebenaran melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang Manila sebaik saja ia berlepas. Punca kemalangan masih belum diketahui

Comments

Popular Posts