Pasukan pertunjukan udara negara ”Krisakti” dilancarkan

LANGKAWI 6 Dis. – Krisakti, pasukan profesional aerobatik kebangsaan yang akan menjadi pasukan khas pertunjukan udara negara dilancarkan secara rasmi hari ini.

Pelancaran pasukan Krisakti yang ditubuhkan oleh syarikat Aerotree Defence & Services Sdn Bhd (Aerotree) itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) bersempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2011 (LIMA ”11) di sini.

Krisakti bersempena nama senjata tradisi Melayu iaitu keris yang melambangkan kehebatan, kekuatan dan kekuasaan.

Aerotree mengambil inisiatif untuk menubuhkan pasukan profesional aerobatik itu sebagai membantu hasrat kerajaan yang mahu pasukan seperti itu diwujudkan untuk mewakili negara.

"Penubuhan pasukan ini akan menambah nilai nasional dan mengurangkan penggantungan terhadap negara asing bagi melakukan aktiviti-aktiviti seperti ini,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Krisakti menggunakan empat buah pesawat berkipas ”Extra 300L” buatan Jerman.

Comments

Popular Posts