LIMA bukan sekadar wujudkan peluang beli senjata – Zahid
LANGKAWI 6 Dis. – Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2011 (LIMA 2011) bukan sekadar tempat untuk membeli senjata kerana ia sebenarnya menjadi pemangkin kepada industri aeroangkasa dan perkembangan tenaga mahir di kalangan anak tempatan untuk menguasai teknologi moden.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penganjuran LIMA memberi kesan cukup baik kepada industri pertahanan, yang antara lain menyumbang kepada perkembangan pesat industri pembuatan kapal serta bidang Penyelenggaraan, Pembaikan dan Pembaikpulihan (MRO) di Malaysia.
"Dalam industri pembuatan dan membaiki kapal, kita mencatat perkembangan memberangsangkan dengan nilai AS$2.3 bilion,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat pameran LIMA di sini hari ini.
Beliau berkata, ini adalah kesan daripada keyakinan syarikat-syarikat utama dari negara seperti Rusia, Korea dan benua Eropah terhadap syarikat tempatan yang telah membuktikan kemampuan mereka.
Ahmad Zahid berkata, ia juga membuktikan program-program “off-set” dan perpindahan teknologi serta latihan telah mula membuahkan hasil. – Bernama
Comments