Kami tidak bermusuhan' - Tony Fernandes

Tony Fernandes diserbu oleh pihak media bagi mendapatkan reaksinya berkaitan pertelingkahan dengan MAHB ketika menghadiri majlis sambutan ulang tahun AirAsia ke 10 di Sepang, semalam.

SEPANG 8 Dis. - Tan Sri Tony Fernandes berkata, beliau tetap bersahabat baik dengan Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Tan Sri Bashir Ahmad, biarpun sering melemparkan kritikan-kritikan pedas terhadap entiti itu.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd. (AirAsia) secara peribadi telah menjemput Bashir menghadiri jamuan meraikan ulang tahun ke-10 syarikat penerbangan tambang rendah itu pada malam ini.

Fernandes berkata: ''Media sahaja yang anggap kami bermusuhan tetapi kami sebenarnya mempunyai hubungan yang baik.

''Saya 'bergaduh' dengannya (Bashir) semata-mata untuk mempertahankan keperluan perniagaan AirAsia, di luar situasi ini kami adalah rakan niaga yang saling memerlukan antara satu sama lain,'' katanya ketika ditemui pada sambutan ulang tahun ke-10 AirAsia yang diadakan di Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah di sini hari ini.

Kemunculan Fernandes pada majlis itu memang ditunggu-tunggu oleh media, selepas beliau mempertikaikan keputusan MAHB menaikkan caj perkhidmatan penumpang pada 15 November lalu.

Kritikan Fernandes berlarutan sehingga 'membuka rahsia' mengenai kenaikan kos pembinaan dan mendakwa KLIA2 bakal dibuka lebih lewat daripada jangkaan asal.

Kritikan pedas Fernandes yang dibuat melalui laman sosial Twitter telah menimbulkan ketegangan antara kedua-dua pihak sehingga saling berbalas kenyataan di media.

Sehingga satu tahap, AirAsia mahupun MAHB mendedahkan pelbagai dokumen mengenai projek pembangunan KLIA2 kepada media sebagai bukti masing-masing.

Fernandes mengakui kejadian baru-baru ini telah mengakibatkan beliau tidak popular tetapi mendakwa tindakan tersebut sebagai menjaga kepentingan para penumpang setia AirAsia dan pemegang saham syarikat penerbangan itu.

Beliau enggan mengulas apabila dikatakan bahawa kebanyakan dakwaan-dakwaan AirAsia terhadap MAHB dilihat sebagai tidak tepat dan tidak sepatutnya dilakukan.

Fernandes: ''Saya telah melalui pelbagai cabaran untuk mengembangkan perniagaan AirAsia tetapi kami mampu membuktikan bahawa produk AirAsia adalah terbaik.

''Kami berjaya memberi jutaan penumpang peluang 'terbang' dan membawa jumlah penumpang yang bukan sedikit di LCCT.

''Jadi, tidak bolehkah MAHB bekerjasama dengan AirAsia supaya kami boleh mempertahankan model perniagaan ini?,'' ujar beliau.

Bagaimanapun, Fernandes menaruh harapan segala kemelut antara AirAsia-MAHB dapat diselesaikan.

''Saya mahu kehidupan lebih aman, tidak mahu dianggap suka menimbulkan perbalahan supaya dapat menjalankan perniagaan dalam suasana yang baik.

''Selepas isu ini saya semakin positif terhadap MAHB dan saya mahu terus optimis dalam menjalinkan kerjasama dengannya 10 tahun akan datang,'' kata beliau yang berharap untuk dapat membincangkan isu Perjanjian Perkhidmatan (SLA) di KLIA2, dengan MAHB.

Ditanya tentang perancangan AirAsia bagi tempoh 10 tahun akan datang, beliau berkata, syarikat penerbangan itu mengunjurkan untuk memiliki 300 pesawat dan menguasai seluruh laluan Asia.

Fernandes juga membayangkan bahawa AirAsia bakal turut diterajui oleh bakat-bakat baharu.

Ketika ditanya sama ada beliau mahu meninggalkan AirAsia, Fernandes secara berseloroh berkata: ''Saya dan Datuk Kamarudin Meranun akan membuka stesen televisyen berkos rendah''.

Comments

Popular Posts