Kurangkan kos: MAS gantung 8 laluan mulai awal 2012
KUALA LUMPUR 14 Dis. – Malaysia Airlines (MAS) akan menggantung lapan laluan yang mencatat kerugian, tahun depan bagi mengawal kos.
Laluan terbabit termasuk laluan harian Kuala Lumpur–Surabaya, yang akan digantung mulai 7 Januari, penerbangan tiga minggu sekali Kuala Lumpur-Dubai (10 Januari), penerbangan dua kali seminggu Kuala Lumpur–Karachi–Dubai (12 Januari), penerbangan tiga kali seminggu Kuala Lumpur–Dubai–Damman (13 Januari), penerbangan harian Langkawi–Pulau Pinang–Singapura (30 Januari), penerbangan tiga kali seminggu Kuala Lumpur–Johannesburg (31 Januari), penerbangan dua kali seminggu Kuala Lumpur–Cape Town–Buenos Aires (1 Februari) dan penerbangan tiga kali seminggu Kuala Lumpur–Rom (2 Februari).
Persediaan alternatif akan dilakukan dengan syarikat penerbangan lain bagi mereka yang telah menempah tiket untuk laluan terbabit selepas tarikh penggantungan, kata MAS dalam satu kenyataan hari ini.
Penggantungan itu dibuat secara berperingkat-peringkat, selari dengan program rasionalisasi yang diumumkan minggu lepas.
"Keputusan itu dibuat berdasarkan analisis bebas dalaman terhadap hasil dan keuntungan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya.
"Ini menyumbang hampir 12 peratus daripada kapasiti penumpang dan kami menganggarkan rasionalisasi berterusan laluan akan meningkatkan muatan, menambah hasil dan menyumbang impak keuntungan sebanyak RM220 juta hingga RM302 juta bagi 2012
Comments