MAS diminta pertahan laluan penting ke Eropah

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) diminta tidak melepaskan laluan penerbangan utama ke negara-negara Eropah kerana ia boleh menjejaskan industri pelancongan negara.

Presiden Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (Maho), Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, laluan itu juga merupakan antara operasi yang membawa keuntungan kepada MAS selama ini.

“Justeru, saya harap desas-desus mengenai keputusan MAS untuk menutup laluan utama ke Eropah seperti ke Rome dan Buenos Aires serta laluan strategik lain seperti Afrika Selatan dan Dubai adalah tidak benar sama sekali.

“Jika tidak, ia merupakan satu lagi episod malang kepada syarikat penerbangan milik negara itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada desas-desus dalam industri mengenai kemungkinan MAS akan membuat pengumuman rasmi dalam masa terdekat ini mengenai penutupan beberapa destinasi penerbangan utama termasuk laluan ke Eropah.

Abdul Aziz yang juga Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) menambah, apa yang menyedihkan keputusan MAS itu sekiranya benar, berlaku selepas syarikat tersebut memeterai perjanjian pertukaran saham dan kepentingan dengan AirAsia Berhad (AirAsia).

Ini kata beliau, menimbulkan persoalan sama ada MAS terpaksa melepaskan laluan penerbangan penting itu untuk diisi oleh AirAsia X.

“Saya hairan sama ada MAS dalam membuat keputusan menarik diri dari laluan ini memikirkannya dari sudut jangka masa panjang atau pendek. Apa yang pasti, adalah sukar untuk mendapatkan semula laluan ini apabila ia dilepaskan,” katanya.

Beliau menambah, keputusan itu juga sekiranya benar bakal memberi impak negatif kepada kredibiliti dan imej MAS sebagai syarikat penerbangan milik negara.

Ini kerana kata beliau, MAS selepas ini hanya akan dianggap sebagai syarikat penerbangan kedua yang hanya beroperasi untuk laluan domestik dan laluan serantau.

Comments