Lapangan Terbang Langkawi terima kenaikan 15% penumpang

LANGKAWI 10 Dis. — Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi menerima penambahan penumpang 15 peratus sepanjang berlangsungnya Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2011 selama lima hari bermula Selasa lepas dan berakhir hari ini.

Pengurus lapangan terbang itu, Abdul Halim Othman berkata, penambahan itu kebanyakan daripada pempamer LIMA 2011 dan pelancong.

"Sebanyak 24 penerbangan berjadual diadakan ke Langkawi setiap hari oleh beberapa syarikat," katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya, walaupun tiada tambahan penerbangan, syarikat penerbangan menggunakan pesawat lebih besar bagi menampung permintaan.

Pada masa ini, Malaysia Airlines (MAS), Air Asia, Firefly, Berjaya Air dan Silk Air Singapura mengadakan penerbangan setiap hari ke pulau bebas cukai ini.

Lapangan terbang itu mensasarkan 1.4 juta penumpang tahun ini berbanding 1.3 juta tahun lepas. — BERNAMA

Comments