Firefly kekal guna pesawat turboprop - Ahmad Jauhari
PETALING JAYA 1 Okt. - Firefly akan kekal sebagai pengendali pesawat kipas (turboprop) dan tiada sebarang rancangan syarikat penerbangan komuniti tersebut untuk menggunakan pesawat jet di dalam operasinya.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Airline System Bhd. (MAS), Ahmad Jauhari Yahaya berkata, buat masa sekarang, penggunaan pesawat jet hanya untuk operasi MAS.
"Firefly ketika ini menerbangkan pesawat turboprop dan MAS menggunakan jet, jadi kedua-duanya kekal sebegitu, " katanya selepas majlis sambutan 40 tahun MAS di sini hari ini.
Sebelum ini terdapat cadangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Ignatius Ong yang menyatakan kemungkinan anak syarikat MAS itu mengemukakan pelan pemulihan terbaharu untuk menggunakan pesawat jet.
Firefly pernah mengendalikan pesawat Boeing, B737-800 namun telah ditarik balik oleh MAS sebagai sebagai pelan penstrukturan semula perniagaan kumpulan.
Firefly yang berpangkalan di Subang dan Pulau Pinang ketika ini mengendalikan pesawat ATR72-500.
Menyentuh mengenai kemungkinan MAS meneroka pasaran penerbangan tambang murah, Ahmad Jauhari berkata, ia sentiasa terbuka terhadap semua peluang.
"Namun perancangan ketika ini adalah untuk mengekalkan Firefly sebagai pengendali turboprop dan MAS sebagai pengendali jet, " katanya.
Sempena sambutan 40 tahun MAS, syarikat penerbangan kebangsaan itu menyediakan pelbagai acara sepanjang setahun bagi meraikannya.
Antara yang menarik adalah pemberian 40 pasang tiket kepada pelanggan bertuah bermula minggu depan selama 40 hari.
Comments