800,000 tempat duduk percuma di AirAsia




AirAsia turut menawarkan kadar tambang termurah dengan penerbangan jarak jauh bersama AirAsia X. - REUTERS


SEPANG 29 Okt. - AirAsia menawarkan 800,000 tempat duduk percuma ke pelbagai destinasi domestik dan antarabangsa yang terpilih mulai hari ini hingga 4 November ini.
Menurut syarikat penerbangan tambang murah itu, pelanggan hanya perlu membayar cukai lapangan terbang dan surcaj bahan api ke destinasi-destinasi terpilih itu sepanjang tempoh promosi.
Harga yang perlu dibayar oleh pelanggan bermula serendah RM26 untuk cukai lapangan terbang dan surcaj bahan api ke destinasi seperti Pulau Pinang, Langkawi, Terengganu, Brunei dan penerbangan antarabangsa seperti ke Kemboja, India, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Vietnam, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan banyak lagi.
Pelanggan boleh melakukan tempahan melalui laman web AirAsia iaitu www.airasia.com dari tarikh 29 Oktober hingga 4 November ini. Promosi itu adalah bagi tempoh perjalanan dari 1 Mei sehingga 30 September 2013.
Selain daripada laman web, pelanggan juga boleh menempah penerbangan melalui 'mobile app' AirAsia yang boleh dimuat turun daripada Apple App Store untuk iPhone, Google Play Store untuk gajet Android serta mobile.airasia.com di dalam telefon mudah alih yang mempunyai keupayaan WAP.
Ketua Komersial Kumpulan AirAsia, Kathleen Tan berkata, pihaknya menjangka bahawa promosi tempat duduk percuma itu akan meningkatkan trafik penggunaan laman web syarikat penerbangan itu.
Dalam pada itu, perkhidmatan jarak jauhnya, AirAsia X, turut menawarkan promosi hebat dengan harga penerbangan termasuk semua cukai dan surcaj dari RM299 ke Jepun (Tokyo, Osaka), RM349 ke China (Hangzhou, Chengdu, Beijing) dan RM399 ke Australia (Sydney, Melbourne, Gold Coast, Perth), Nepal (Kathmandu), Korea (Seoul) dan Taiwan (Taipei).
Harga promosi untuk tempat duduk 'Premium Flatbed' AirAsia X juga boleh didapati dari harga RM799 ke destinasi seperti Beijing, Hangzhou, Chengdu, Taipei, Perth, Melbourne, Gold Coast, Sydney, Tokyo, Osaka, Seoul dan Kathmandu.
Tempat duduk 'Premium Flatbed' AirAsia X adalah berserta produk dan servis seperti 'Pick A Seat, keutamaan daftar masuk, keutamaan untuk menaiki pesawat, keutamaan bagasi, bagasi sebanyak 25 kilogram (kg), set makanan percuma, satu set bantal dan selimut semasa penerbangan.
Laman percutian AirAsiaGo juga menawarkan promosi untuk hotel-hotel di Bangkok, Krabi, Langkawi, Kota Kinabalu, Bali, Yogyakarta dan banyak lagi dari harga RM30 untuk semalaman.
Harga promosi ini boleh ditempah di laman www.AirAsiaGo.com dari 29 Oktober lalu sehingga 4 November ini dan tempoh perjalanan adalah dari 1 Mei sehingga 15 September 2013.
Penumpang digalakkan menempah peruntukan bagasi mereka secara dalam talian semasa menempah tiket penerbangan yang membolehkan penjimatan sehingga 66 peratus, jika dibandingkan mendaftar-masuk peruntukan bagasi di kaunter lapangan terbang secara manual.



Comments

Popular Posts