AirAsia sah batal ambil alih Batavia Air



SALAH sebuah pesawat Batavia Air mendarat di Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta. - GAMBAR HIASAN

JAKARTA 15 Okt. - Hasrat AirAsia Berhad membeli syarikat penerbangan Indonesia, PT Batavia Air tidak kesampaian apabila usaha pengambilalihan itu disahkan batal.
Berita pembatalan berkenaan diumumkan Pengarah Komersial Batavia, Sukirno Sukarno yang menjelaskan, keputusan itu dicapai memandangkan syarikat berkenaan gagal mencapai persetujuan dalam rundingan dengan AirAsia dan PT Fersindo Nusaperkasa.
“Ini bukanlah penamat buat segala-galanya buat Batavia Air kerana kami akan terus menjalankan perniagaan sekalipun tanpa pengambilalihan ini," kata Sukirno seperti yang dilaporkan akhbar The Jakarta Post hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci butiran pembatalan berkenaan.
Sebaliknya, Sukirno memberitahu, syarikat berkenaan akan mengedarkan kenyataan mengenai kegagalan persefahaman itu hari ini.
Sementara itu, dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya sememangnya menyedari bahawa transaksi itu bakal berhadapan dengan kesukaran.
“Keputusan ini merupakan pengalaman yang berguna kepada kami dan ia akan menguatkan lagi keyakinan syarikat untuk terus berkembang di Indonesia.
“Kami akan terus memberi fokus di Indonesia termasuk mempercepatkan rancangan tawaran awam permulaaan (IPO) kami (AirAsia Indonesia), selain terus mengekalkan hubungan baik dengan Batavia Air," katanya dalam kenyataan itu.
AirAsia Berhad dan Fersindo pada Julai lalu menandatangani Memorandum Persefahaman dengan PT Metro Batavia untuk pengambilalihan itu, termasuk pembelian sekolah penerbangan bernilai AS$80 juta dolar (RM245 juta).
Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia sebelum ini merancang untuk menguasai 49 peratus kepentingan dalam syarikat penerbangan Indonesia itu, iaitu had maksimum yang ditetapkan oleh kerajaan negara berkenaan terhadap pemilikan asing.



Comments

Popular Posts