MASWings sasar 1.5 juta penumpang
MIRI 14 Okt. - MASwings Sdn. Bhd. (MASwings), anak syarikat Malaysia Airlines (MAS), telah mengunjurkan jumlah penumpang seramai 1.5 juta tahun ini berbanding 1.4 juta tahun lepas.
Ketua pegawai eksekutif MASwings, Datuk Mohd. Nawawi Awang berkata, sasaran itu boleh dicapai berdasarkan pertumbuhan penumpang di kawasan perkhidmatannya serta kejayaan rancangan pengembangannya di Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur - Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA).
"Faktor beban kami juga telah meningkat daripada 59 peratus pada 2008 kepada 64 peratus pada 2011," katanya di majlis makan malam ulang tahun kelima MASwings malam tadi.
Nawawi berkata, Prestasi Tepat Waktu MASwings (OTP) adalah yang terbaik di negara ini dengan purata 94 peratus dicatatkan tahun lepas dan dijangka untuk mencapai pertumbuhan yang lebih positif tahun ini.
"Berdasarkan pencapaian ini, kami semenjak Februari tahun ini telah mengembangkan operasi di kawasan BIMP-EAGA, dan kini kami sibuk dengan fasa kedua dan ketiga," katanya.
Pada Mei, Nawawi mengumumkan perlaksanaan fasa kedua MASwings mulai 1 Julai dengan meningkatkan kekerapan penerbangan ke destinasi terpilih serta laluan-laluan baharu.
Di antara laluan baharu adalah dari Kuching ke Balikpapan di Kalimantan Timur yang dijadualkan bermula bulan ini sementara di Filipina, ia sedang menanti kelulusan daripada kerajaan Filipina untuk memulakan operasi di Puerto Princesa (Pulau Palawan) menjelang akhir tahun.
Nawawi berkata, berikutan keputusan yang menggalakkan dan prestasi cemerlang MASwings, pihak pengurusan telah bersetuju untuk membuat bayaran khas satu bulan kepada pekerja MASwing dengan agihan yang akan dimasukkan bersama-sama gaji Oktober.
Syarikat penerbangan komuniti itu kini memiliki 10 unit pesawat ATR72-500 dan empat HDC-6 Twin Otters.
Comments