Turki tahan pesawat Armenia pula



Pesawat Armenia yang dipaksa mendarat di lapangan terbang Erzurum, timur Turki, semalam digeledah bagi memastikan ia tidak membawa senjata berbahaya ke Syria.

ANKARA 15 Okt. - Turki, hari ini mengarahkan sebuah pesawat Armenia yang dalam penerbangan ke bandar Aleppo, Syria, mendarat di timur negara ini dan menggeledahnya, ketika Ankara meningkatkan usaha menghalang ruang udaranya digunakan untuk membekalkan senjata kepada tentera Syria.
Turki telah dimaklumkan bahawa pesawat yang dipaksa mendarat di bandar Erzurum itu membawa bantuan kemanusiaan dan pegawai Armenia tahu ia akan digeledah, menurut seorang pegawai dari pejabat Perdana Menteri Turki.
Pegawai di pejabat Kementerian Luar pula berkata, pesawat kargo itu akan dibenarkan meneruskan penerbangan jika tidak ada barangan lain yang ditemui.
Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu, semalam mengumumkan akan menghalang pesawat penumpang Syria menggunakan ruang udara negara ini selepas Damsyik mengambil langkah yang sama.
Davutoglu berkata, penutupan ruang udara Turki kepada penerbangan awam Syria itu dikuatkuasakan sejak Sabtu lalu selepas mengenakan sekatan sama ke atas pesawat tentera dari negara itu.
Tindakan Ankara itu dibuat selepas agensi berita Syria, SANA pada Sabtu lalu melaporkan semua pesawat Turki dilarang memasuki ruang udara Syria.
Sementara itu, jumlah pelarian Syria di khemah-khemah pelarian di selatan negara ini telah melebihi 100,000 orang, angka yang dikatakan Ankara sebelum ini tidak dapat ditampungnya, menurut Agensi Pengurusan Bencana Turki (AFAD).
AFAD dalam satu kenyataan berkata, kini terdapat 100,363 rakyat Syria di lebih 12 khemah pelarian di wilayah Turki di sepanjang sempadan negara ini dengan Damsyik.
Ketegangan antara Turki dan Syria memuncak sejak dua minggu lalu selepas insiden berbalas-balas bedilan merentasi sempadan antara kedua-dua negara diikuti tindakan Ankara memaksa sebuah pesawat Damsyik mendarat kerana didakwa membawa senjata dari Rusia pada 10 Oktober lalu



Comments

Popular Posts