MAS jadi ahli oneworld mulai Februari



KUALA LUMPUR 29 Okt. - Malaysia Airlines (MAS) bakal menjadi ahli penuh oneworld bermula 1 Februari depan selepas syarikat penerbangan negara itu berjaya dalam penilaian teliti yang dijalankan syarikat penerbangan Qantas, yang juga penaja kemasukannya kepada perikatan tersebut.

Menurut satu kenyataan di sini hari ini, MAS akan menawarkan perkhidmatan dan manfaat penuh oneworld, sekali gus membolehkan dua juta ahli Enrichnya memiliki kelebihan berganda apabila terbang dengan mana-mana ahli oneworld yang lain.

Antara ahli-ahli itu ialah Airberlin, American Airlines, British Airways, Cathay Pacific Airways, Finnair, Iberia, Japan Airlines, LAN Airlines, Qantas, Royal Jordanian, S7 Airlines dan 25 lagi syarikat penerbangan bersekutu.

Menurut MAS, pemegang kad Enrich Platinum akan mendapat status Emerald di dalam program oneworld, manakala pemegang Enrich Gold bersamaan dengan oneworld Sapphire dan Enrich Silver setara oneworld Ruby.

Tambah syarikat penerbangan tersebut, ahli Enrich Platinum dan Gold kini boleh menggunakan 550 lounges di lapangan terbang seluruh dunia yang turut ditawarkan oleh oneworld kepada ahli-ahlinya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahaya berkata, menyertai oneworld merupakan pencapaian besar kepada syarikat tersebut selain ia mampu mengukuhkan kedudukannya untuk bersaing dengan syarikat-syarikat lain.

"Penyertaan ini juga membolehkan MAS untuk merebut semua manfaat dalam bentuk kewangan yang hadir daripada perikatan global ini," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif oneworld, Bruce Ashby berkata, MAS merupakan calon paling sesuai untuk menyertai oneworld kerana ia mempunyai reputasi khidmat pelanggan bertaraf dunia.

" Penyertaan MAS membolehkan kami meningkatkan tawaran kepada rantau yang paling pantas berkembang bagi sektor pelancongan udara ini, " katanya.



Comments