Helikopter Nuri mendarat cemas




Helikopter Nuri TUDM yang membuat pendaratan cemas di Pulau Perak, Kedah, kelmarin.




KUALA LUMPUR 23 Dis. - Sebuah helikopter Sikorsky S61A-4 Nuri (Nuri) yang berpangkalan di Pangkalan Udara Butterworth terpaksa membuat pendaratan cemas di Pulau Perak, Kedah semalam ketika menghantar bekalan untuk pasukan keselamatan.

Kejadian berlaku pukul 11.34 pagi ketika helikopter itu membawa sejumlah anak kapal dan penumpang untuk menghantar bekalan di kawasan tersebut.

Bagaimanapun disebabkan faktor yang tidak dikenal pasti, juruterbang helikopter terpaksa melakukan pendaratan cemas dan kesemua anak kapal serta penumpang selamat.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya telah menubuhkan lembaga penyiasatan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan.
"Pesawat berkenaan dalam misi ulang bekal untuk pasukan keselamatan yang bertugas di kawasan tersebut," kata kenyataan itu di sini hari ini.

Sejak 1969, sebanyak 16 nahas melibatkan Nuri berlaku di negara ini sehingga mengakibatkan 88 orang maut manakala tiga hilang.

Pada 14 November 1989, sebanyak 22 terbunuh dalam nahas pesawat Nuri di sempadan Perak-Kelantan, iaitu kemalangan Nuri terburuk dalam sejarah negara.
Kejadian terbaru berlaku pada 13 Julai 2007 apabila pesawat Nuri yang dalam perjalanan ke Pangkalan TUDM Kuantan terhempas berhampiran Genting Sempah, Pahang menyebabkan enam anggota TUDM terbunuh.

Comments

Popular Posts