KLIA2 dijangka beroperasi 2 Mei 2014


Hishammuddin Tun Hussein meninjau kerja-kerja akhir pembinaan KLIA2 di Sepang, semalam.


SEPANG 7 Jan. - Proses pembinaan terminal penerbangan tambang murah, KLIA2 sudah 98 peratus siap dan menunjukkan perkembangan pembangunan yang baik sebagai persediaan untuk mendapatkan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) akhir bulan ini.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, setelah memperoleh CCC akhir bulan ini, ujian Kesediaan Perpindahan Operasi Lapangan Terbang (ORAT) akan dilaksanakan selama tiga bulan.

Menurutnya, bahagian terminal utama telah 99 peratus siap dan kementerian itu optimis KLIA2 akan dibuka kepada orang ramai seperti dijadualkan iaitu pada 2 Mei depan.
"Proses pembinaan KLIA2 yang berkeluasan 257,000 meter per segi itu berjalan lancar dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bersama-sama kontraktor yang dilantik adalah komited memastikan bangunan terminal itu siap mengikut jadual.

"Hampir keseluruhan kemudahan dan sistem di bangunan terminal utama siap sepenuhnya termasuk sistem bagasi yang berfungsi selepas melalui beberapa kaedah ujian dalam sesi percubaan," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan KLIA2 di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengarah Urusan MAHB, Tan Sri Bashir Ahmad dan Pengurus Besar Kanan (Operasi) MAHB, Datuk Azmi Murad.

Terminal utama KLIA2 dibina oleh syarikat konsortium UEMC-Bina Puri JV yang telah dianugerahkan pakej mereka bentuk, membina dan menyelenggara terminal, bangunan satelit, jambatan udara (sky bridge) dan jeti terminal ke pesawat bernilai RM997 juta.
Tempoh siap KLIA2 sudah beberapa kali dipinda sejak 2011 manakala kos pembinaannya tidak melebihi RM4 bilion.

Pada 8 Oktober tahun lalu, pesawat Malindo Air telah melakukan pendaratan percubaan di landasan ketiga terminal tersebut.

Menurut Hishammuddin, kementerian amat berharap pihak MAHB dan kontraktor yang dilantik mampu menyiapkan KLIA2 seperti yang dijadualkan bagi memastikan industri penerbangan negara terus kukuh di persada antarabangsa.
Selain itu katanya, beliau amat berpuas hati dengan peranan yang dimainkan oleh Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Karpawi dalam memantau perjalanan projek KLIA2.

"Saya berharap Jawatankuasa Khas ini terus proaktif membantu pihak MAHB serta kontraktor yang dilantik dalam menyelesaikan masalah atau kekangan yang timbul dalam memastikan pembinaan KLIA2 siap mengikut jadual," katanya.
Dalam pada itu beliau memberitahu, kementerian telah menjemput syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri penerbangan di negara ini untuk membincangkan hala tuju industri penerbangan melalui Dasar Penerbangan Kebangsaan.

"Perbincangan tersebut akan dilaksanakan pada akhir bulan ini dan beberapa perkara berhubung industri penerbangan negara akan dibincangkan dalam pertemuan tersebut," katanya.

Comments

Popular Posts