Juruterbang Cessna 172 mungkin masih tidak cekap


KUALA LUMPUR 12 Jan. - Juruterbang Cessna 172 yang terhempas berhampiran Empangan Batu, Ulu Yam petang semalam berkemungkinan masih tidak cekap mengendalikan pesawat dalam situasi yang agak mencabar.

Pengarah Operasi Penerbangan, Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Kapten Datuk Yahaya Abd. Rahman walau bagaimanapun menjelaskan, perkara itu hanya berdasarkan andaian kerana punca sebenar kejadian berkenaan masih dalam siasatan Kementerian Pengangkutan.

Menurut beliau, juruterbang daripada kelab penerbangan hanya memerlukan latihan 50 jam bagi melayakkan mereka mendapat Lesen Juruterbang Persendirian (PPL) berbanding tempoh latihan sebanyak 200 jam untuk Lesen Juruterbang Komersial.

Namun katanya, berdasarkan maklumat awal, juruterbang itu telah pun mematuhi peraturan-peraturan dalam PPL termasuk berusia 18 tahun ke atas dan jumlah penumpang tidak melebihi empat orang.
"Kemungkinan juruterbang itu belum cekap dan berpengalaman rendah, apabila menghadapi sesuatu keadaan getir sedikit, beliau tidak boleh kawal.

"Kalau dikatakan puncanya adalah untuk mengelak burung, pesawat tidak sepatutnya jatuh kecuali juruterbang itu melanggar burung menyebabkan bintang itu masuk ke dalam enjin lalu terhempas," katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, tiga juruterbang daripada Kelab Penerbangan Diraja Selangor yang menjalani latihan penerbangan cedera termasuk dua parah selepas pesawat Cessna 172 yang dinaiki mereka terhempas selepas dikatakan mengelak burung helang berhampiran Empangan Batu.

Dalam kejadian pukul 5 petang itu, Kapten Saiful Farid Amri Amrizal, 21, yang merupakan pemandu pesawat ringan itu cedera di bahagian muka sementara dua penumpangnya, Kapten Syed Haidhar Syed Zulkifli, 24, dan Shaiful Zafiq Razali, 23, cedera parah daripada pinggang ke bawah.
Dalam pada itu, Yahaya berkata, siasatan berhubung punca sebenar nahas itu dijangka selesai paling awal dalam tempoh tiga bulan.

Justeru katanya, DCA tidak boleh membuat apa-apa kesimpulan awal sama ada mahu mengkaji semula silibus penerbangan pengendalian pesawat ringan.

"Kita tidak mahu membuat kesimpulan daripada dengar-dengar cakap sahaja.
"Dalam sektor penerbangan, macam-macam boleh berlaku. Mungkin nasib tidak menyebelahi dia dengan keadaan cuaca yang tidak begitu baik ketika itu," katanya.

Comments