Pesawat dipanah petir, empat terkorban


Pesawat Piper Seneca terbakar selepas terhempas akibat dipanah petir di Tual, Maluku, semalam. - AFP


JAKARTA 19 Jan. - Sebanyak empat orang terkorban apabila sebuah pesawat ringan terhempas lalu terbakar di sebuah pantai di timur Indonesia, hari ini, selepas dipanah petir.

Menurut pegawai, ketika kejadian, pesawat dua enjin, Piper Seneca itu, sedang dalam perjalanan dari timur wilayah Papua ke bandar Tual di Kepulauan Maluku apabila ia terperangkap dalam ribut pada tengah hari tadi.

Seorang saksi, Akib Hanubun memberitahu AFP, pesawat itu dilanda angin kencang dan hujan lebat sebelum dipanah petir lalu terhempas berdekatan sebuah kampung.
"Sayap kiri pesawat itu patah akibat dipanah kilat.

"Pesawat itu kemudian terbang senget sebelum terhempas ke tanah dengan kuat dan terbakar," kata saksi berusia 47 tahun itu.

Jurucakap Kementerian Pengangkutan, Bambang Ervan mengesahkan kesemua empat orang di dalam pesawat itu terbunuh di tempat kejadian.

"Mereka terdiri daripada seorang juruterbang, dua jurutera dan seorang pekerja landasan," katanya.
Pesawat Piper Seneca dikeluarkan oleh syarikat Piper Aircraft yang berpangkalan di Amerika Syarikat. Jet yang terhempas itu milik syarikat Intan Angkasa Air Service, menurut Ervan.

Menurut laman web syarikat itu, syarikat itu menyediakan perkhidmatan sokongan bagi industri minyak dan gas, perlombongan, penyelidikan, perhutanan dan industri lain di seluruh Indonesia. - AFP

Comments

Popular Posts