'Paus Udara' pesawat masa depan
MADRID 16 Jan. - Seorang pereka bentuk dari Sepanyol berjaya menghasilkan konsep sebuah pesawat komersial futuristik yang menyerupai bentuk sebuah kapal angkasa lepas dan berpotensi untuk dijadikan kenyataan pada masa akan datang.
Pesawat digelar 'Sky Whale' atau 'Paus Udara' yang dilaporkan lebih besar daripada pesawat penumpang terbesar di dunia, Airbus A380 itu, mampu memuatkan seramai 755 orang penumpang yang ditempatkan pada tiga dek mengikut kelas masing-masing.
Setiap kelas yang ditawarkan itu pula iaitu, kelas ekonomi, kelas perniagaan dan kelas pertama masing-masing dilengkapi tingkap canggih bagi membolehkan penumpangnya menikmati pemandangan menarik daripada pesawat.
Bagaimanapun, konsep Sky Whale dipercayai masih belum menarik minat pembuat kapal terbang di dunia untuk membangunkannya.
Pesawat itu menurut pereka bentuknya, Oscar Vinals amat besar dengan mempunyai sayap berukuran 88 meter penjang berbanding 80 meter bagi pesawat Airbus A380 dan 64 meter bagi Boeing 747.
Katanya, pesawat itu akan diperbuat daripada bahan-bahan baharu yang dihasilkan daripada seramik dan gentian komposit, manakala badan pesawat mempunyai fiuslaj berkembar, sekali gus membolehkannya terbang lebih lama tanpa perlu mengisi minyak.
Selain itu katanya, enjin pesawat itu mampu condong sehingga 45 darjah, sekali gus membolehkan Sky Whale berlepas dari kedudukannya tanpa memerlukan sebuah landasan yang panjang seperti mana yang diperlukan pesawat Airbus A380.
Malah, menurut Vinals yang beribu pejabat di Barcelona, sekiranya pesawat itu terhempas, ia akan memisahkan bahagian penumpang dengan bahagian sayap atau enjin pesawat, sekali gus mampu mengurangkan jumlah kematian.
Tambahnya, kesemua teknologi itu adalah untuk mengurangkan seretan, penggunaan minyak dan berat, sekali gus menjadikannya sebuah pesawat paling mesra alam
Comments