Malindo Air sasar 3 juta penumpang akhir 2014 - CEO
SEPANG 30 Dis. - Syarikat penerbangan hibrid Malindo Air, menyasar meraih lebih tiga juta penumpang menjelang akhir 2014, dengan pembukaan KLIA2 pada 2 Mei 2014.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy berkata: "kami telahpun mencecah kira-kira 900,000 penumpang bulan ini. Kami menyasar mencapai satu juta pertama penumpang awal tahun depan dan lebih tiga juta pada akhir tahun depan.
"Memandangkan KLIA2 yang bakal dibuka tidak lama lagi, Malindo Air merancang datang seawal Mei dan dengan itu, kami berharap memperoleh lebih tiga juta penumpang dengan menyediakan lebih banyak pesawat di KLIA2 dan di Lapangan Terbang Subang," katanya pada media selepas pelancaran
penerbangan sulung Malindo Air dari Kuala Lumpur ke New Delhi oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi, di sini, hari ini.
Selepas New Delhi, syarikat penerbangan itu akan melebarkan sayapnya ke bandar raya lain di India, kata Chandran.
"Trichy akan menjadi destinasi kami seterusnya, dengan penerbangan sulung dijadualkan pada 2 Januari; Mumbai pada 15 Februari; dan Ahmedabad pada 19 Mac; dengan bandar-bandar lain seperti Kochin dan Chennai juga berada dalam perancangan kami," katanya.
Syarikat penerbangan itu juga merancang berkembang ke pasaran tahap kedua seperti ke Amritsar, bandar suci orang Sikh, dan Pune pada separuh kedua 2014.
Ketika ini, Malindo mempunyai 11 pesawat, dengan dua pesawat baharu ATR72-600 tiba hari ini.
Syarikat merancang menambah jumlah pesawat kepada 25 pada tahun depan, katanya.
Comments