Selesaikan laluan Ipoh-Medan


IPOH 25 Dis. - Pihak bertanggungjawab diminta campur tangan bagi membolehkan penerbangan Flying Fox Airways laluan antara Ipoh-Medan berjaya direalisasikan dalam usaha menyemarakkan lagi industri pelancongan tempatan terutama pelancongan perubatan di bandar raya ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, adalah sesuatu yang amat merugikan apabila penambahbaikan yang dibuat terhadap Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah sebelum ini tidak dapat digunakan untuk tujuan komersial.

Justeru, tegas Roshidi, sesuatu perlu dilakukan pihak berwajib sama ada dari Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri bagi memastikan penerbangan tersebut berjaya dilakukan mengikut jadual.
"Sebagai Datuk Bandar saya merasa amat sedih apabila mengetahui kapal terbang jenis Boeing 737-400 tidak boleh mendarat akibat masalah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sedangkan apa yang kita faham kerja-kerja penyambungan landasan sebanyak 200 meter lagi telah dibuat untuk membolehkan pesawat besar mendarat.

"Usaha ini amat baik untuk masa depan sektor pelancongan negeri ini. Jadi saya amat berharap sesuatu dapat diambil pihak berwajib supaya perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Hotel Golden Roof Ipoh di Pusat Perdagangan Ampang Baru di sini hari ini.

Baru-baru ini penerbangan pertama Flying Fox Airways yang dijadualkan pada 13 Disember lalu terpaksa ditangguhkan ke tarikh yang belum ditetapkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf landasan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah.

Flying Fox Airways memeterai perjanjian dengan syarikat penerbangan ketiga terbesar di Indonesia, Sriwijaya Air bagi penerbangan dari Ipoh ke Medan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Daniel Lee berkata, mereka menerima maklum balas melalui notis kepada juruterbang bahawa hanya kapal terbang jenis ATR-72 (72 tempat duduk) dibenarkan mendarat di lapangan terbang tersebut pada masa ini.

Roshidi berkata, sebagai alternatif, pengusaha-pengusaha penerbangan diminta menggunakan pesawat lebih ringan untuk membolehkan usaha menerokai laluan tersebut berjaya dilaksanakan.
"Setakat ini saya tidak tahu apa alasan yang diberikan namun saya pasti DCA mesti ada alasan yang kukuh untuk berbuat demikian.

"Namun, pengusaha penerbangan boleh menggunakan pesawat yang lebih ringan kerana potensi cukup banyak apabila laluan Ipoh-Medan ini dibuka terutama dalam sektor pelancongan kesihatan.
"Ini berikutan bayaran yang dikenakan hospital swasta di sini jauh lebih murah jika dibandingkan di Pulau Pinang dan Singapura," katanya.

Comments