Penumpang MAS di LTAS naik

JOHOR BAHRU 30 Dis. - Malaysia Airlines (MAS), mencatatkan penambahan jumlah penumpang sebanyak 32 peratus bagi perkhidmatannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) sepanjang tempoh Januari hingga November tahun ini.

Naib Presiden Kanan Wilayah MAS, Muzammil Mohammad berkata, penambahan jumlah penumpang tersebut turut menyumbang kepada peningkatan hasil pendapatan operasi MAS di LTAS sebanyak 12 peratus bagi tempoh yang sama berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, banyak faktor yang mendorong peningkatan memberansangkan itu, antaranya penyusunan semula pesawat lama kepada model baharu yang dilakukan syarikat penerbangan tersebut.
"Jika dilihat, MAS banyak membuat perubahan sepanjang tahun ini dan yang paling ketara adalah memperkenalkan pesawat baharu dan usaha ini mendapat sambutan positif kerana orang ramai sememangnya suka mencuba sesuatu yang baharu.

"Selain itu, MAS sentiasa membuat kajian dalam menyediakan tambang yang kompetitif kepada pelanggan, antaranya orang ramai boleh mendapatkan harga yang berpatutan dengan membuat tempahan tiket awal selain promosi yang ditawarkan," katanya selepas merasmikan pejabat jualan baharu, MH Sales di Aero Mall, LTAS, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LTAS, Safuan Basir dan Pengurus Besar Hotel Thistle, Edward Kollmer.

Pejabat jualan baharu itu beroperasi mulai pukul 5.30 pagi sehingga 9 malam bagi memudahkan pelanggan membuat urusan membeli dan membuat tempahan tiket selain boleh berhubung terus dengan lebih 28 wakil pelancongan di sekitar bandar raya ini.

Dalam pada itu, Muzammil turut mengumumkan penerbangan khas sempena sambutan Tahun Baru Cina dari Johor Bahru ke Sibu, Sarawak berikutan permintaan tinggi ke destinasi itu daripada pelanggan.
"Hingga kini tiket penerbangan khas pada 29 Januari itu sudah 50 peratus ditempah pelanggan. Pesawat tersebut akan berlepas dari Kuala Lumpur dan transit di LTAS sebelum meneruskan perjalanan ke Sibu," katanya.

Comments

Popular Posts