AirAsia latih juruterbang di Indonesia
JAKARTA 10 Ogos - Menjelang Mac tahun depan, syarikat penerbangan tambang murah yang mula diasaskan di Malaysia, AirAsia dijangka bersedia melatih juruterbang sebaik pusat latihan syarikat itu mula beroperasi.
Pusat Latihan di Cengkareng di sini yang dibangunkan oleh anak syarikat AirAsia, PT AirAsia Indonesia itu akan bersandarkan standard piawaian antarabangsa.
Antara kelebihan yang ditawarkan di pusat latihan itu juga ialah, AirAsia menawarkan semua lulusan sekolah penerbangan di seluruh dunia untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran di situ.
"Semua juruterbang akan kita kumpulkan di sini dan melatih mereka menjadi juruterbang antarabangsa untuk laluan-laluan AirAsia kelak.
"Bahkan, kita juga tidak menetapkan lulusan juruterbang dari pusat latihan AirAsia hanya akan bekerja untuk AirAsia sahaja, sebaliknya, juruterbang dari syarikat penerbangan lain juga dipelawa untuk turut serta," kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Dharmadi.
Keperluan memiliki pusat latihan ini juga dilihat sebagai memenuhi keperluan AirAsia yang pada setiap tahun menambah lima buah pesawat baru bukan sahaja di Indonesia tetapi juga di negara lain.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes pada sidang media semasa pelancaran pejabat baru AirAsia ASEAN di sini pada Selasa lalu mengumumkan pelan jangka panjang AirAsia termasuk mendirikan pusat latihan penerbangan serta sekolah kejuruteraan bagi membimbing anak-anak muda yang mahu melibatkan diri dalam industri berkenaan.
Pelaburan AirAsia dalam pembinaan sekolah penerbangan ini juga sebagai mengukuhkan laluan penerbangan antarabangsa syarikat berkenaan.
"Destinasi antarabangsa dan pesawat semakin bertambah. Ini bermakna, kita memerlukan juruterbang yang memiliki standard antarabangsa," jelas Dharmadi lagi.
Sebaik pusat latihan itu beroperasi, ia sekali gus menambah jumlah pusat latihan penerbangan antarabangsa Air Asia di ASEAN.
Sebelum ini, Air Asia sudah memiliki pusat latihan yang sama yang terletak tidak jauh dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang, Selangor yang diberi nama Asian Aviation Academy. - UTUSAN
Comments